Pembangunan Di Rumah Panjang Bukit Kiara Sama Sekali Tidak Sentuh Taman Rimba – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 11 April – “Saya akan pastikan 100 keluarga di Rumah Panjang Bukit Kiara mendapat hak mereka dan saya beri jaminan tidak akan ada walau sebatangpun pokok di Raman Rimba Bukit Kiara yang akan diusik,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Justeru jelas beliau, jangan ada pihak yang berani menyebarkan khabar angin kononnya pembangunan yang mahu dibuat di tanah tersebut akan merosakkan taman rimba Bukit Kiara.

“Saya nak jelaskan, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan juga Kementerian Wilayah tidak akan sama sekali membenarkan pencerobohan terhadap Taman Rimba Kiara. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

“Ini adalah isu memajukan satu tanah milik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Paling penting Kabinet lapan tahun dulu lagi telah bersetuju untuk penduduk di sini yang asalnya hanya menduduk sementara mendapat rumah ganti malah telahpun dipersetujui antara pemaju dan penduduk yang mereka akan mendapat sebuah rumah secara percuma dan generasi kedua akan mendapat diskaun untuk pembelian rumah,” ujar beliau kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di perumahan terbabit.

Tambah Annuar yang juga merupakan Pengerusi YWP, beliau akan memastikan penduduk terlibat mendapat rumah secepat mungkin memandangkan sudah lebih 30 tahun mereka menanti.

“Saya bersedia untuk berbincang dengan sesiapa sahaja yang ingin berbincang berkaitan isu ini termasuklah persatuan. Isnin ini (13 April) saya telah menjemput Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh untuk datang ke pejabat saya pukul 12.30 tengah hari untuk berbincang.

“Sekali lagi saya bagi jaminan kita tidak akan menyentuh walau sebatangpun pokok di Taman rimba Bukit Kiara. Jangan dengar khabar angin.

“Saya mula-mulapun ingat pembangunan ini akan sentuh taman rimba tetapi selepas saya diberi penerangan dan lihat plan maka saya berani katakan tidak akan sebatang pokokpun atas tanah taman rimba ini yang akan kita benarkan untuk diusik malah pemaju yang hendak memajukan tanah ini akan memberi tambahan kawasan hijau di atas tanah peribadi mereka,” tegas beliau.

Untuk rekod, projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Pada 23 April 2019, Ketua Pegawai Eksekutif YWP Zaizalnizam Zainun telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa laporan yang mengatakan pembinaan tersebut akan menyentuh taman rimba itu adalah tidak tepat.

Menurut kenyataan tersebut, tidak akan ada pencerobohan ke atas Taman Rimba Kiara dan YWP dan pemaju telah berkompromi dan bersetuju untuk mengecilkan cadangan pembangunan dari 12 ekar (4.9hektar) kepada 8 ekar (3.2hektar). Baki 4 ekar tanah akan dipulangkan agar dapat dirizabkan menjadi kawasan lapang supaya bersekali dengan tapak seluas 13 ekar yang sedia ada di sebelahnya. Ini bermakna sejumlah 17.0 ekar (6.9ha) kawasan Taman Rimba Kiara (TRK) masih tidak diceroboh oleh sesiapa. Oleh itu, orang ramai akan dapat terus menikmati kehijauan alam semulajadi yang mereka sayangi.

Pembangunan ini tidak menceroboh taman rekreasi besar, trek jogging dan kolam yang sedia ada manakala kuil Sri Maha Mariamman, akan dikekalkan seperti sediakala di tanah seluas 0.3 ekar. Pemaju juga telah memperuntukkan tanah tambahan sebanyak 0.39 ekar, menjadikannya lebih luas berjumlah 0.69 ekar untuk manfaat penganut kuil tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.