Hukuman Keras Jika Enggan Kuarantin Mandatori, Najib Setuju Tindakan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 11 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersetuju dengan tindakan terbaharu kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang melanggar kuarantin mandatori sepertimana yang pernah disarankannya.

Sebelum ini, dakwanya kerajaan terlalu mengambil ringan mereka yang langgar arahan kuarantin mandatori walaupun ianya satu tindakan yang amat berbahaya, bukan mengenai pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PK) tetapi melanggar arahan kuarantin mandatori dari kerajaan.

“Hukuman sekarang adalah denda RM10,000 dan penjara – bukan denda RM10,000 atau penjara.

“Kerajaan juga perlu memastikan bahawa arahan kuarantin mandatori dikenakan ke atas setiap orang yang pernah ada kontak rapat dengan kes positif COVID-19 tanpa mengira keputusan ujian COVID-19 ke atas mereka yang dikuarantin adalah positif atau negatif,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, ujian COVID-19 bukanlah seratus peratus tepat dan kerana itulah kuarantin mandatori 14 hari adalah wajib.

“Jika langkah-langkah ini dilaksanakan sejak awal bulan lalu, orang seperti Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) yang merayau keluar rumah dalam tempoh PKP setelah ujian COVID-19 dia negatif untuk mencari kawan baru di blok kondo dia sudahpun dipenjarakan,” tambahnya.

Dilaporkan, dalam sidang media harian, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang kembali dari luar negara dan enggan memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman penjara dan denda kerana menghalang penjawat awam untuk melakukan tugas.

Jelas Menteri Pertahanan itu lagi, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sehingga Khamis lalu, sebanyak 156 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 146 pada hari sebelumnya, dengan 11,445 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.