Sebar Berita Palsu, Tindakan Dikenakan Tanpa Kira Kedudukan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 10 April – Kerajaan memandang serius isu penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 dan akan mengenakan tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat tanpa mengira kedudukan mereka, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Mengulas mengenai satu video tular di media sosial kononnya berlaku kejadian rempuhan sekumpulan rakyat Malaysia di Tambak Johor, beliau berkata perbuatan menyebar berita palsu itu dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan keadaan panik dalam kalangan masyarakat.

“Semalam, ada ditularkan dalam media sosial oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu dengan menularkan video tentang rempuhan di Tambak Johor seolah-olah begitu ramai rakyat Malaysia balik serentak sehingga berlaku keadaan panik atau tidak terurus di Tambak Johor.

“Pihak Jabatan Imigresen menafikan dan menjelaskan bahawa rakaman video itu adalah suasana latihan pencegahan kebakaran oleh jabatan bomba yang dilaksana pada 18 Dis 2018,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak polis telah mengenal pasti individu yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 207 kertas siasatan berkaitan berita palsu, dan 23 daripadanya didakwa di mahkamah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.