Tingkat Kerjasama ASEAN Hadapi Krisis COVID-19 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, April 9 – ASEAN perlu mengutamakan usaha mencari jalan yang mempunyai daya tahan menghadapi krisis ekoran pandemik COVID-19 selepas sekurang-kurangnya 15,477 orang dijangkiti dengan 527 kematian di Asia Tenggara, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berucap menerusi sidang video Mesyuarat Khas Majlis Penyelaras ASEAN mengenai COVID-19, Hishammuddin berkata, ASEAN mesti bersama membangunkan pelan pemulihan selepas pandemik bagi rantau ini, ke arah mekanisme kerjasama lebih aktif dan bersepadu.

Beliau berkata, Malaysia percaya tindak balas serantau yang menyeluruh daripada ASEAN amat diperlukan segera dalam menangani pandemik ini.

“Tindak balas yang berkecamuk hanya akan mengancam kumpulan serantau ini. Kita mempunyai peluang untuk bertindak di sini dan tidak terlalu awal untuk kita melihat ke hadapan.

“Dengan kawalan pergerakan dan larangan perjalanan, pandemik COVID-19 terbukti menjadi ancaman besar terhadap semangat perpaduan ASEAN.

“Secara kolektif sebagai sebuah kumpulan yang mewakili lebih 600 juta orang, kita mesti bekerjasama dan menyasarkan ASEAN sebagai rantau yang sifar COVID-19 sepenuhnya,” katanya dari Wisma Putra, Putrajaya.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh. Pada tahun ini, Vietnam menduduki kerusi Pengerusi ASEAN.
Hishammuddin berkata kepantasan, skala dan solidariti, tiga elemen penting yang Malaysia rasakan perlu dipraktikkan ASEAN untuk memenangi perjuangan melawan COVID-19.

Mengenai elemen kepantasan, beliau berkata Malaysia telah melaksanakan garis panduan penyediaan bantuan kecemasan kepada negara ASEAN lain yang terjejas akibat pandemik.

“Brunei telah membantu hantar balik rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir, dan kita juga sudah melakukan perkara sama untuk Singapura dan Indonesia dari Iran dan Nepal. Selaras dengan semangat ASEAN, kami berterima kasih atas bantuan yang diberikan dan berharap kerjasama ini akan diteruskan jika berlaku lagi kecemasan pada masa akan datang, “katanya.

Tambah beliau kepantasan, memainkan peranan penting dalam menangani berita tidak benar dan khabar angin, kerana tindakan yang perlahan boleh menjejaskan hubungan dua hala antara negara dan menggugat agenda ASEAN.

Hishammuddin juga berkata Kuala Lumpur pada prinsipnya bersetuju dengan cadangan menubuhkan Dana Respon COVID-19 ASEAN, yang akan menggunakan sebahagian Dana Pembangunan ASEAN (ADF) sedia ada.

“Malaysia berpendapat perlu diberi keutamaan terhadap Dana Respon COVID-19 ASEAN itu untuk memperluas skala stok simpanan kecemasan sedia ada bagi tindak cepat pandemik, dengan barangan seperti topeng muka, kit ujian dan peralatan perlindungan. Saya faham berlaku kekurangan bekalan di peringkat global, tetapi kita mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan, “katanya.

Di bawah aspek solidariti pula, Hishammuddin berkata ASEAN Emergency Operation Centre Network for Public Health Emergencies (ASEAN EOC Network) telah menyebarkan perkembangan terkini dan maklumat mengenai langkah pencegahan, pengesanan dan tindak balas.

Pusat Penilaian Komunikasi dan Risiko ASEAN (ARARC) yang dihoskan Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, termasuk program kesiapsiagaan dan pembinaan kapasiti, katanya.

Bagaimanapun, menteri itu menegaskan terdapat keperluan untuk memperluas perkongsian pengalaman terbaik antara negara anggota ASEAN bagi mengelak risiko ada negara terlepas maklumat penting, penyelarasan dasar dan opsyen strategik yang diambil oleh negara anggota lain.

Pada mesyuarat itu, Hishammuddin turut berkongsi langkah yang diambil Malaysia untuk memerangi COVID-19, antara lain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac.

Beliau berkata Malaysia juga telah melaksanakan PKP Diperketatkan di lokasi tertentu untuk membendung penularan wabak COVID-19.- BERNAMA