PKPD Di Simpang Renggam Dilanjutkan Hingga 14 April – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 9 April – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 14 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

“Kita setuju sambung empat hari lagi untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya pada sidang media harian PKP, di sini.

Simpang Renggam menjadi lokasi pertama di negara ini dikenakan PKPD berkuat kuasa 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu PKP di kawasan zon merah, kuning dan hijau, esok.

Beliau berkata ia akan diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi berkaitan.

“MKN mengedarkan cadangan SOP itu dan ia akan dibincangkan secara terperinci esok,” katanya.

Ditanya berhubung PKP fasa kedua yang berakhir 14 April ini, dan dijangka diumumkan esok sama ada dilanjutkan atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan PKP, hari ini.

Beliau berkata setiap keputusan mengenai PKP dan PKPD dibuat atas nasihat KKM.

“Saya pun tidak tahu apa seterusnya dan KKM yang akan nasihatkan kerajaan, selepas terima nasihat KKM, pastinya kerajaan akan membuat keputusan dan tentu sahaja akan ada pengumuman.

“Selagi tidak ada pengumuman, maka kita kira setakat hari ini PKP ini diteruskan sehingga 14 April,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.