Penangguhan Sementara Obligasi Kontrak: Satu Pertimbangan – Khaled

KUALA LUMPUR, 8 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memuji dan mengalu-alukan usaha Kerajaan melindungi kehidupan rakyat, perusahaan dan perniagaan kecil (IKS) pada masa yang paling membimbangkan dalam sejarah negara iaitu berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Jelas beliau, cabaran kali ini amat sukar, dan bantuan untuk masalah yang paling mendesak memerlukan keinginan serta empati politik yang luar biasa, ditambah pula dengan kerugian yang perlu ditanggung dan ketidakpastian yang menunggu.

Namun begitu ujar Khaled, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada golongan industri pembinaan.

“Saya ingin menarik sedikit perhatian Kerajaan kepada golongan industri pembinaan yang memainkan peranan yang cukup penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini kelihatan bahawa mereka bukan sahaja patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kepatuhan tersebut secara realitinya telah secara langsung mengakibatkan kerugian besar.

“… malah rayuan mereka untuk mendapatkan bantuan juga telah disalah ertikan. Ini tidak sama sekali bermaksud pemain industri pembinaan memerlukan bantuan kewangan, sebaliknya Kerajaan boleh meringankan beban mereka melalui penguatkuasaan pelepasan sementara dari kewajipan kontrak kepada semua syarikat pembinaan (dan syarikat yang berkaitan pembinaan) yang terjejas akibat pandemik ini.

“Kesan pandemik COVID-19 ini telah mengganggu dan menjejaskan keupayaan mereka untuk memenuhi kewajipan dalam sesuatu kontrak,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Khaled turut mencadangkan agar kerajaan mengambil contoh dari negara jiran iaitu Singapura dalam usaha memberikan bantuan yang adil kepada perniagaan dan individu yang terjejas dengan memperkenalkan satu Rang Undang-undang yang memberikan pelepasan dari kewajipan kontrak dalam satu tempoh yang ditetapkan.

“Rang Undang-undang ini melarang pihak berkontrak dari mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang gagal melunaskan tanggungjawabnya atau ‘non-performing parties’ sepanjang tempoh yang ditetapkan malah, Rang Undang-undang ini bukan sahaja terpakai kepada syarikat-syarikat pembinaan, tetapi merangkumi yang lain juga.

“Langkah pelepasan sementara seperti ini yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan akan membantu individu dan golongan perniagaan dari terus mengalami penyusutan aliran tunai semasa tempoh yang sukar ini. Ditambah pula dengan penggunaan ‘klausa force majeure’ atau penggunaan doktrin ‘frustration’ di bawa ‘Common Law’ yang pastinya boleh memberikan panduan yang lebih baik kepada mana-mana pihak sebelum memulakan sesuatu prosiding,” terang beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.