Bangunan Selangor Mansion, Malayan Mansion Lokasi Keempat PKPD – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 April – Kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan keempat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India di sini berkuatkuasa hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan COVID-19 di kedua-dua bangunan itu.

Beliau berkata, PKPD yang melibatkan penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan itu akan dilaksanakan sehingga proses pengesanan kes dari unit ke unit selesai.

“Sewaktu PKPD ini dilaksanakan semua penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD, malah pelawat juga tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan itu. Semua kawasan keluar masuk juga akan ditutup.

“Semua penghuni juga akan menjalani saringan kesihatan dan pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPD,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penghuni memberi kerjasama dan mematuhi perintah pihak berkuasa.

Bagi memastikan pematuhan perintah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Rela akan mengawal seluruh kawasan.

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan PKPD di tiga kawasan iaitu Simpang Renggam, Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dijangka membentang prosedur operasi standard (SOP) baharu PKP berdasarkan zon tertentu Khamis ini.

“Mungkin ada sedikit kelonggaran jika kawasan itu tidak ada jangkitan COVID-19. Contohnya, untuk kawasan zon hijau, penduduk mungkin tidak boleh keluar dari kawasan itu, manakala orang dari luar kawasan itu pula mungkin tidak boleh masuk ke kawasan itu untuk elak kawasan hijau jadi kawasan zon merah.

“Begitu juga untuk zon merah, SOP yang disediakan mungkin lebih ketat berbanding zon hijau… jadi perinciannya akan dimaklumkan selepas MKN dan KDN sediakannya nanti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata MKN dan KDN juga akan melihat semula jenis premis perniagaan yang akan dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP.

Pada masa sama, walaupun sekiranya PKP tamat pada 14 April ini, satu SOP tertentu juga akan disediakan untuk pasca PKP bagi mengelakkan penularan semula wabak COVID-19 seperti yang berlaku di Hong Kong, dan Singapura.

“Kami tahu rakyat terlalu gelisah, tidak sanggup duduk terlalu lama di rumah, jadi kami sedang kaji kesannya jika peraturannya terlalu longgar. Sebab itu kami akan lihat secara teliti, kita nak bagi kebebasan, tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu disebabkan kesilapan yang dilakukan, kita terpaksa reverse balik keputusan dan lakukan PKP lebih lama.

“Jadi lebih baik kita kembalikan kehidupan seperti asal dan PKP seterusnya tidak berlaku,” katanya. –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.