Kesihatan Awam, Kesihatan Ekonomi: Bagaimana Negara Perlu Tangani Akibat COVID-19 – Shahrir

KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad merumuskan terdapat dua kesan besar yang berhubung sangat rapat akibat COVID-19 iaitu kesihatan awam dan ‘kesihatan’ ekonomi yang perlu ditangani dengan sebaiknya oleh negara dan rakyat.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, dari segi kesihatan awam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelihatan berupaya mengendalikan wabak bertaraf pandemik tersebut.

Jelasnya, beberapa hari kebelakangan ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah membentangkan kepada negara angka-angka kes baru COVID-19 harian yang agak stabil.

“Kejayaan mengesan kes baru dari tiga kawasan yang telah dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan – Enhanced Movement Control Order – EMCO) juga membawa kredibiliti kepada tindakan tegas MKN atas nasihat KKM.

“Perintah kuarantin 14 hari di pusat-pusat kuarantin kepada semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara juga memperlihatkan tindakan berani dan tegas KKM dalam menghadapi wabak ini.

“Sungguhpun begitu, KKM tetap berwaspada dan bersedia menghadapi gelombang ketiga yang dikhuatiri dibawa dari kes-kes yang belum dapat dikesan ataupun yang diimport melalui rakyat yang pulang dari luar negara,” tambahnya,

Begitu juga ujarnya, sudah mula adanya perbahasan mengenai soal ‘kesihatan’ ekonomi negara dan rakyat sambil negara menghadapi wabak dan juga pasca wabak.

“IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan OECD (Pertubuhan Bagi Kerjasama Dan Pembangunan Ekonomi) sudah mula berbicara mengenai kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi global. Anggaran berkurangnya pertumbuhan ekonomi pada kadar -2% bagi setiap bulan negara-negara bertungkus-lumus memelihara kesihatan awam sudah dibentangkan olih badan-badan ekonomi antarabangsa.

“Kesimpulannya, secara global, kita akan berdepan dengan kemelesetan dan stagflasi ekonomi.

“Anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) tidak jauh berbeza juga dari ramalan oleh badan-badan ekonomi dan kewangan antarabangsa. Malaysia diramalkan akan mengalami ekonomi yang meleset pertumbuhannya – di antara negatif 2% dan 0.5% – dengan semua sektor ekonomi, kecuali perkhidmatan, tidak berkembang,” katanya.

Justeru itu, Shahrir yang juga bekas Pengerusi FELDA menimbulkan persoalan apakah yang patutnya dilakukan oleh kerajaan dalam menghadapi cabaran ‘kesihatan’ ekonomi.

Dalam pada itu, Shahrir juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang telah menyuarakan supaya diadakan ‘total reset’ kepada ekonomi negara.

Seterusnya, dalam isu yang sama, Shahrir berkata Wabak COVID 19 secara langsung telah memaksa rakyat negara ini mengubah cara dalam setiap aspek kehidupan kerana kegiatan biasa bukan lagi seperti biasa di mana ia terpaksa disesuaikan dengan satu keadaan yang sungguh luar biasa.

“Pendek kata, sudahpun berlaku proses ‘reset’ itu. Sudah ada proses perubahan dan penyusunan ‘kembali semula’ itu.

“Pasti akan adanya sebahagian amalan-amalan yang diterima secara paksa pada ketika wabak yang akan kita diteruskan pasca-wabak. Umpamanya, amalan kebersihan diri (membasuh tangan, memakai topeng muka bila tidak sihat, dan lain-lainl) yang ditegaskan hari-hari sewaktu ini bakal menjadi amalan biasa,” ujarnya.

Apatah lagi tambahnya amalan penjimatan perbelanjaan dan amalan membantu mereka yang memerlukan.

“Pasti juga kita sudah boleh menilai semula apakah yang perlu dimantapkan di peringkat negara dalam keadaan kita sudah lebih menghargai perkara-perkara yang dulunya dianggap mudah dan biasa.

“Iaitu, yang asasi kembali menjadi penting. Sesudahnya bakal berubah amalan asasi di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tentunya perlu juga perubahan kembali semula kepada yang asasi di peringkat negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.