COVID-19: Jaga Etika Media Sosial, Jangan Sebar Berita Palsu

KUALA LUMPUR, 5 April – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke-19 hari ini dengan sebahagian besar rakyat patuh untuk kekal di rumah seperti yang dikehendaki, namun lain pula ceritanya tentang berita palsu berkaitan COVID-19 dan PKP yang masih bebas ‘berlegar-legar’ di media sosial.

Walaupun berkali-kali rakyat diingatkan tentang etika penggunaan media sosial, serta hukuman yang bakal menanti mereka yang menyebar berita palsu, namun peringatan itu seolah-olah tidak memberi kesan kepada sesetengah warga maya.

Memetik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebanyak 184 kertas siasatan dibuka dan 20 kes didakwa di mahkamah terhadap penyebar berita palsu COVID-19 di media sosial.

Beliau berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak akan berkompromi serta akan terus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu.

Tindakan menularkan berita palsu boleh menyebabkan anda disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membeli penutup hidung dan mulut perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan penjualan barangan itu, khususnya yang diiklankan di laman-laman sosial.

Laporan media semalam menyatakan sebanyak 501 kes penipuan melibatkan penjualan penutup hidung dan mulut dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh PKP setakat Jumaat lepas, dengan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta. Seramai 37 individu warga tempatan berumur antara 21 hingga 45 tahun ditahan dengan 22 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah.

Sepanjang tempoh PKP juga, rakyat dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan senaman di rumah serta meningkatkan amalan pemakanan sihat dan diet seimbang bagi mengekalkan kesihatan.

Fasa pertama PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1 hingga 14 April ini.

Semestinya ramai yang berharap tempoh PKP berakhir segera bagi membolehkan semua pihak menjalani kehidupan seperti sedia kala, tidak ketinggalan juga yang merancang aktiviti untuk dilakukan selepas berakhirnya tempoh PKP.

Justeru, kerjasama rakyat untuk terus meningkatkan disiplin dan patuh arahan PKP amat diperlukan bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.