Pelajar Daripada Luar Negara Bukan Sahaja Dikuarantin, KPT Turut Wujudkan Program Rangsangan Emosi

KUALA LUMPUR, 3 April – Semua pelajar yang tiba di tanah air bukan sahaja perlu melalui proses saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara malah para pelajar terlibat juga perlu melalui proses kuarantin selama 14 hari di Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang diselia oleh NADMA.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata pelajar hanya akan dibenarkan pulang ke rumah selepas tamat tempoh kuarantin dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kepulangan 310 pelajar ke Malaysia dari beberapa universiti di Indonesia semalam merupakan program yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama beberapa buah kementerian, kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Para pelajar dari beberapa tempat di Indonesia telah transit ke Jakarta terlebih dahulu. Mereka semua telah menjalani proses disinfeksi dengan semburan nyah kuman dan melalui saringan kesihatan seperti yang disyaratkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Noraini turut memaklumkan keseluruhan kos berkenaan ditanggung sendiri oleh pelajar dan keluarga mereka selain terdapat juga tajaan dari kerajaan negeri Sarawak dan beberapa buah parti politik.

“KPT juga ingin memaklumkan bahawa tiada halangan sekiranya ada dalam kalangan pelajar yang ingin pulang ke Malaysia. Walau bagaimanapun, ingin diingatkan bahawa urusan tersebut adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab para pelajar sendiri atau keluarga masing-masing.

“Sekiranya ada yang bercadang untuk berbuat demikian, mereka harus memaklumkan kepada wakil-wakil Education Malaysia dan kedutaan di negara pengajian masing-masing,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut memaklumkan KPT juga mengambil berat bukan sahaja kesihatan fizikal malah mental para pelajar.

“Oleh itu satu program rangsangan emosi telah digarab dengan menyediakan pasukan kaunselor dan asatizah dari universiti-universiti tempatan sebagai satu sistem sokongan dan ditempatkan di pusat kuarantin.

“Pelajar juga adalah dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian mereka sekarang, sentiasa menurut arahan daripada pihak universiti dan pihak kerajaan tempatan di negara berkenaan serta mengikuti perkembangan terkini yang sahih berkaitan perkara ini,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.