KKM Keluarkan SOP Pelaksanaan Sanitasi Awam

PUTRAJAYA, 2 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan sanitasi awam yang lebih efektif bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan terdapat banyak aduan berhubung cara proses nyah cemar berkenaan dilaksanakan pada masa ini.

“Ada yang mengadu tidak mengikut peraturan dan sebagainya, jadi KKM telah membangun dan mengeluarkan satu SOP tentang bagaimana cara setiap nyah cemar dilaksanakan.

“Nyah cemar ini akan dilaksana bukan sahaja di tempat awam tetapi akan diteruskan dari rumah ke rumah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat kebimbangan daripada beberapa pihak terhadap pelaksanaan proses sanitasi awam yang dikhuatiri tidak menepati SOP KKM.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 348 kawasan untuk pelaksanaan Ops Sanitasi Awam di seluruh negara.

“Semalam (1 April), sebanyak 93 kawasan dinyah cemar, dan jumlah kawasan yang dinyah cemar sejak 27 Mac adalah 252 kawasan,” katanya.

Beliau berkata pada hari ini, 46 kawasan di lapan negeri akan dilakukan proses nyah cemar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.