UMNO Sabah Gesa Institusi Kewangan Kerajaan Negeri Beri Penangguhan Bayaran Pinjaman

KOTA KINABALU, 1 Apr – UMNO Negeri Sabah hari ini menyeru institusi kewangan milik Kerajaan Negeri agar turut memberi penangguhan bayaran ansuran bulanan pinjaman (moratorium) kepada semua pelanggannya.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, sebagai contoh Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan beberapa lagi agensi lain wajar memberi moratorium enam bulan seperti yang dilakukan oleh bank-bank komersial yang lain.

Katanya, ini adalah bagi memudahkan para peminjam mereka untuk menstruktur semula kewangan berikutan Pandemik Covid-19.

“Rakyat amnya dan para peniaga serta peminjam khasnya sangat terjejas dan terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini”, tambahnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, institusi kewangan utama di Malaysia telah pun memberikan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk individu, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan syarikat korporat.

“Pakej penangguhan selama 6 bulan ini wajar dinikmati oleh peminjam dan pelanggan Sabah Credit, YUM dan institusi kewangan negeri yang lain.

“Institusi dan agensi kewangan negeri sepatutnya prihatin dengan nasib dan beban yang ditanggung oleh pelanggan mereka yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat keluar bekerja atau berniaga dalam tempoh kritikal ini,” tegas Ghazalie.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata, saranan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman oleh agensi kewangan negeri Sabah amat diharapkan oleh semua peminjam yang terlibat.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 berkata, kerajaan amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan industri perbankan yang menawarkan kelonggaran moratorium itu.

Katanya, sebagai balasannya, kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

“Selain itu, langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.