MB Mesti Bertanggungjawab, Fahami Perintah PKP – Pemuda UMNO N. Sembilan

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir merasa terkilan dengan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun yang tidak mempedulikan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, walaupun menyampaikan bantuan adalah perkara kebajikan yang terpuji, namun tindakan secara terbuka menyebabkan rakyat secara langsung telah melanggari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apa yang berlaku di Sikamat cukup mengejutkan apabila berduyun-duyun penduduk telah keluar daripada rumah untuk mengambil bantuan keperluan asas di Masjid Kariah Sikamat.

“Adalah amat menghairankan apabila Menteri Besar yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan berlepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya liabiliti kepada pihak masjid,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Zaidi lagi, sewajarnya Aminuddin harus cakna dan proaktif bagi memastikan semua rakyat termasuk di DUN Sikamat mematuhi perintah PKP.

Tindakan tegas harus diambil memandangkan Daerah Seremban kini telah diklasifikasikan sebagai salah satu daripada 15 zon merah di Malaysia yang mencatatkan tidak kurang daripada 108 kes positif COVID-19, jelas beliau lagi.

“Sekiranya Aminuddin dan kerajaan negeri tidak mampu memastikan keselamatan dan menjaga kebajikan rakyat, berhentilah daripada menjadi kerajaan.

“Tindakan menghantar wakil semata-mata membuat report polis berkenaan ‘posting FB’ bukanlah tindakan seorang pemimpin sejati tatkala negara mengalami krisis,”ujarnya.

Pemuda UMNO Negeri Sembilan mendesak supaya Aminuddin lebih bertanggungjawab bagi memastikan rakyat mematuhi perintah PKP dan bertindak menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah supaya mengelakkan orang ramai berkumpul, tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.