Rakyat Malaysia Pulang Dari Luar Negara Akan Dikuarantin

PUTRAJAYA, 31 Mac – Semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebaik tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa terus menggunakan bas ke pusat kuarantin dan akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengetahui status kesihatan.

“Jadi saya nasihatkan kaum keluarga tidak perlu ke lapangan terbang untuk menyambut ahli keluarga yang pulang dari luar negara kerana mereka akan terus dibawa ke pusat kuarantin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sewaktu berada di pusat kuarantin, mereka akan disaring oleh petugas KKM untuk melihat status kesihatan selain perlu mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan kementerian itu.

Ismail Sabri berkata walaupun kerajaan menyedari ramai rakyat Malaysia di luar negara yang ingin pulang, namun kerajaan menasihati mereka untuk terus kekal berada di tempat mereka bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kita menasihati rakyat kita yang tinggal di luar negara, seperti pelajar dan sebagainya, yang mempunyai tempat tinggal supaya kalau boleh tidak perlu pulang dan berada di negara masing-masing kerana mereka mempunyai rumah dan tempat tinggal.

“Banyak negara yang bertambah dari segi positif COVID-19, adalah akibat kepulangan rakyat mereka yang berada di luar negara, kalau kita lihat, misalnya, walapun Wuhan telah dapat mengawal COVID-19 dari terus merebak tetapi dimaklumkan dan difahamkan apabila rakyat mula pulang ke negara mereka berlaku semula positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata dalam masa dua hari ini, kerajaan akan memastikan keperluan seperti pengangkutan dan sebagainya untuk mereka yang akan dikuarantin sejurus pulang dari luar negara akan siap disediakan.

“Dah ada sebuah kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan 100 bas percuma dan sebagainya dan kita sedang berunding dengan pihak berkaitan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.