COVID-19: Tempoh PKP Bergantung Kepada Pematuhan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Telah ‘berbuih mulut’ pihak berkuasa menasihati rakyat agar duduk di rumah dan tidak kurang juga ada yang telah didakwa di mahkamah kerana ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih ramai yang degil dan bersikap keras kepala.

Ahad lalu sahaja seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa, menunjukkan masih ramai yang bersikap tegar untuk mematuhi arahan mudah kerajaan untuk mengelakkan krisis COVID-19 ini terus berpanjangan.

Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan termasuk ingin meminjam rokok dari rakan, keluar membeli makanan (walaupun jauh dari kawasan rumah), mengail, dan tidak kurang juga keluar beriadah dengan berjoging menyebabkan pihak berkuasa ‘tepuk dahi’ dengan sikap segelintir rakyat Malaysia ini.

Tanpa disedari sikap degil inilah menyebabkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan penyakit COVID-19 berdepan jalan sukar dan sehingga semalam, virus itu telah mengorbankan 37 orang dengan kumulatif kes positif 2,626 kes.

Ia memaksa kerajaan mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan zon merah yang dikenal pasti mempunyai bilangan kes positif yang tinggi.

Terbaharu iaitu kawasan ketiga yang dikenakan perintah itu malam tadi adalah Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, kerana dikesan mempunyai 17 kes positif jangkitan COVID-19.

Sebelum ini Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor dan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor juga telah dikenakan tindakan yang sama.

Hari ini telah masuk hari ke-14 pelaksanaan PKP, namun bilangan kes positif yang masih tinggi menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan lagi peraturan menjelang fasa kedua pelaksanaan PKP pada 1 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata bermula Rabu ini semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 8.00 malam.

Gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu, malah waktu operasi kenderaan juga akan dikawal.

Ini semua terpaksa dilakukan demi kebaikan rakyat Malaysia sendiri dan untuk membendung ledakan gelombang ketiga COVID-19 ekoran sikap tidak acuh segelintir rakyat negara ini.

Sebagai persiapan untuk menghadapi gelombang ketiga itu juga, kerajaan telah menyediakan pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), bagi menghadapi  sebarang kemungkinan peningkatan mendadak jangkitan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.