Kerjasama NGO Dan Badan Bertanggungjawab Ambil Kira Pelbagai Aspek- Arman

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata pembabitan kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membasmi wabak COVID-19 mencerminkan sikap cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

Jelas beliau, NGO mestilah mengikuti peraturan yang telah ditetapkan terutama masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini supaya dapat mengagihkan bantuan melalui pusat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setempat dengan dibantu oleh anggota Rela dan JPAM serta Pejabat Daerah.

Katanya, setiap keputusan dibuat telah diambil kira keselamatan terutama ‘frontlines’ dan tidak lupa juga para sukarelawan NGO yang ingin menyumbang bakti.

“Untuk maklumat ada beberapa sukarelawan NGO yang terkena jangkitan COVID-19 selepas enam hari membuat program kemasyarakatan. Pihak kerajaan mengambil kira semua sudut keselamatan rakyat malah para sukarelawan NGO juga dalam situasi PKP dilaksanakan.

“Waktu dan lokasi mestilah diambil kira untuk menjaga keselamatan sukarelawan NGO. Kerana terdapat kawasan yang ‘berisiko tinggi’ dan ada juga kawasan yang kurang risiko. Seperti contoh… di Simpang Renggam terpaksa ‘full lockdown’ untuk menjaga keselamatan semua,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Arman lagi, kalau tiada sebarang pemantauan daripada pihak kerajaan…maka tempoh PKP akan terus dilanjutkan kerana penyebaran masih berlaku walaupun dalam tempoh tersebut.

“Pihak NGO jika sebelum terkena jangkitan COVID-19, memang akan persoalkan tindakan kerajaan mengenai perkara yang dibangkitkan, tetapi apabila sudah dijangkitan COVID- 19 akan menyalahkan pihak kerajaan kerana tiada pemantauan.

“Jadi mencegah lagi baik daripada terkena jangkitkan… setiap keputusan yang dibuat kerajaan demi keselamatan rakyat dan negara,” tegasnya.- UMNO ONLINE