COVID-19: 828 Individu Ditahan Ingkar Arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, jumlah penahanan itu menunjukkan polis mengambil tindakan lebih tegas berikutan masih terdapat rakyat yang tidak mematuhi PKP.

Ismail Sabri berkata PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan melakukan 257,287 pemeriksaan kenderaan.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dikuatkuasa 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir esok (31 Mac) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan walaupun sekatan dipertingkat, ia berbeza dengan keadaan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar dan orang luar langsung tidak dibenarkan masuk di kawasan berkenaan.

Malah, beliau berkata situasi sekatan itu juga jauh berbeza dengan perintah berkurung seperti yang diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada tahap kedua ini kita percaya ia tentu berbeza, ingin saya tegaskan sekatan di fasa kedua masih benarkan pergerakan, kedai-kedai masih dibuka seperti biasa cuma mungkin daripada kawalan masa,” katanya.

Selain waktu operasi premis perniagaan, Ismail Sabri berkata dalam fasa kedua berkenaan, waktu operasi kenderaan juga akan dikawal.

Ini termasuk waktu operasi perkhidmatan awam yang kekal dihadkan dari 6.00 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5.00 petang hingga 10 malam sahaja, manakala kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara pukul 6.00 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi.

“Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan,” katanya.

Untuk pengangkutan komersial yang melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan, Ismail Sabri berkata mereka digalakkan beroperasi dari 7.00 malam sehingga 7 pagi, namun jelasnya ia bukanlah satu arahan.

“Ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk beroperasi, mungkin dari Johor Bahru ke Perlis tak boleh selesai… jadi kita bersetuju supaya pengecualian diberikan, walaupun kita galakkan beroperasi pada waktu sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya bagi aktiviti riadah dan sosial sepanjang fasa kedua PKP, semua tempat tidak dibenarkan tidak kira kawasan awam atau persendirian walaupun ia kawasan berpagar.

“Kita tak nak membezakan yang dalam kawasan berpagar mahupun di luar, siapa sahaja, undang-undang kita sama merangkumi semua tak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan.

“Tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autisme dan Orang Kelainan Upaya untuk menjalani terapi seperti dinasihatkan pakar. Bagaimanapun, kita melarang secara berkumpulan, walaupun ia diperlukan di luar,” katanya.

Mengenai aktiviti di rumah ibadat, Ismail Sabri berkata semua aktiviti masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP sepertimana sebelum ini termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.