Pakej Rangsangan Ekonomi: Bagus, Tetapi Pertimbang Pakej Seterusnya Dan Segerakan Agihan BPN

PAKEJ Rangsangan Ekonomi (PRE), #PrihatinRakyat rata-rata mendapat sambutan positif. Kritikan akan sentiasa wujud, dan adakalanya ia kritikan berbaur politik yang tak relevan pada waktu ini. Saya telah mengulas sewaktu FB Live semalam dan banyak pihak lain juga telah menolak cubaan mempolitikkan situasi seperti dakwaan palsu bahawa PRE perlu kelulusan Parlimen dan sebagainya.

Hakikatnya, PRE ini adalah intervensi kerajaan yang paling besar pernah dibuat. Ini memberi gambaran bahawa kerajaan sedar dan maklum tentang apa yang sedang berlaku di peringkat bawahan. Membawa semangat tiada siapa yang akan tecicir, PRE ini dilihat amat menyeluruh dan menyentuh pelbagai segmen masyarakat.

Meskipun begitu, tidak salah rasanya untuk kita mencadangkan beberapa perkara untuk mengukuhkan lagi PRE, termasuk dari segi pelaksanaannya. Dua perkara utama bagi saya:

1) Inisiatif penting pastinya adalah pemindahan wang tunai terus kepada rakyat. Di sini, pengumuman bahawa Bantuan Prihatin Nasional akan diagihkan pada lewat April sedikit membimbangkan. Jika kekhuatiran Kerajaan adalah hendak mengambil masa mendapatkan data M40 yang kali pertama mendapat bantuan sebegini, maka agihkanlah secepat mungkin kepada golongan B40 yang paling terkesan. Saya risau banyak individu yang hilang mata pencarian sepanjang tempoh PKP tidak mampu tunggu sehingga hujung April sebelum mendapat “relief” dari Kerajaan.

2) Pemberian subsidi gaji RM600 adalah suatu langkah tepat. Cuma, timbul kekhuatiran ia terlalu kecil dan majikan masih perlu menanggung jumlah yang besar sekiranya hendak mengekalkan pekerja sedangkan perniagaan yang langsung tidak mampu menjana pendapatan dalam tempoh sukar ini.

Ini bermakna, kerajaan perlu mempertimbang untuk menilai semula jumlah RM600 sekiranya benar mahu memastikan pekerja sedia ada tidak kehilangan pekerjaan dan pendapatan dalam tempoh masa panjang.


Saya yakin semua ini boleh dipertimbangkan memandangkan kedudukan fiskal negara masih terpelihara buat masa sekarang – apatah lagi gambaran bahawa PRE yang telah diumumkan banyak menggunakan pembiayaan dividen GLC dan bukan terbitan hutang baru Kerajaan. Bermakna jika perlu, Kerajaan masih mampu berbelanja. Saya ulangi, defisit bukan keutamaan sekarang. Kalau perlu terbit special sukuk atau bon, tak perlu teragak-agak. Dari suatu sudut, adakalanya Kerajaan bukan hanya wajar fikir kos berbelanja, tetapi juga kos jika tidak belanja.

Barangkali Kerajaan bijaksana mahu “simpan peluru” untuk suatu lagi pakej lebih bersasar setelah penilaian penuh kesan COVID-19 dibuat kelak. Sebab kita tak tahu berapa lama dan berapa dalam kesan ekonomi dunia akibat krisis ini. Saya yakin PM dan Kabinet ada kebijaksanaan untuk mengurus situasi sebaik mungkin.

Apa sekalipun, strategi untuk mengatasi permasalahan ini haruslah jelas dan dapat memberi ketenangan kepada semua pihak. Saya berharap Kerajaan terus prihatin dan cakna bukan hanya kepada suara rakyat tetapi kepada situasi ekonomi – supaya tidak teragak-agak jika perlu tindakan susulan.

Buat masa sekarang, yang paling penting dalam tempoh mencabar ini adalah pertama, membantu wira barisan hadapan kita, dan kedua, pelaksanaan PRE ini. Sama-sama kita doakan pemimpin-pemimpin kita diberi kekuatan untuk melaksanakan yang terbaik untuk negara.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

https://www.facebook.com/520200429/posts/10163191851635430/?d=n