‘Mak Cik Kiah’ Tidak Tertipu… Pakej Ransangan Ekonomi Bantu Aliran Tunai – Shahril

KUALA LUMPUR, 28 Mac –  Sebenarnya ‘Mak Cik Kiah’ tidak tertipu pun kerana Pakej Ransangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam adalah membantu aliran tunai dan bukannya untuk mengkayakan sesiapa, demikian penegasan Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.

Malah beliau turut menegaskan apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah manfaat kepada rakyat bernilai RM250 bilion dan yang tidak betul ialah mereka yang tidak membaca atau mendengar ucapan PM dengan jelas.

“Saya nak sebutkan di sini kerajaan dan PM semalam mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi. Beliau tidak sebutkan ini pakej bantuan sara hidup atau pun Bantuan Rakyat 1Malaysia ataupun apa istilah yang kita nak pakai. Beliau tidak sebutkan duit RM250 bilion akan kita bagi terus masuk poket rakyat. PM tidak sebutkan perkara itu. Apa yang disebutkan ialah bagaimana ransang ekonomi.

“Kaedah meransang ekonomi ini ianya bukan sekadar letak duit dalam poket rakyat walaupun itu adalah satu kaedah atau mekanisme yang antara terbaik. Tetapi ianya juga memerlukan kaedah-kaedah lain. Contoh pakej jaminan kerajaan untuk pinjaman yang akan datang daripada dana jaminan. Ini untuk syarikat yang lebih besar.

“Sebab kita tahu untuk permulaan ekonomi kita besok… bulan lima dan bulan enam apabila krisis ini ‘slow’ sikit, insya-Allah kita sama-sama doakan, ekonomi masih akan merudum. Ekonomi cukup mencabar dan kita memerlukan syarikat-syarikat di segenap status ataupun peringkat untuk mampu beroperasi dengan lebih laju dan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara ‘live’ menerusi UMNO-Online yang mengupas topik Pakej Prihatin Rakyat Betulkah ‘No One Will Be Left Behind’.

Kata Shahril lagi, RM50 bilion jaminan kerajaan bermakna syarikat-syarikat boleh buat pinjaman dan 80 peratus daripada pinjaman itu dijamin oleh kerajaan.

“Ini akan membolehkan syarikat senang mendapat pinjaman dan jika tidak ada jaminan kerajaan 80 peratus ini kemungkinan besar mereka tidak akan mendapat daripada bank.”

Shahril seterusnya memberikan contoh bagaimana dari segi penangguhan bayaran hutang PTPTN, pinjaman mikro-kredit dan sebagainya lagi telah memberikan kelegaan kepada rakyat.

“Antara suntikan RM250 bilion itu masuk terus poket rakyat, terus masuk poket syarikat yang akan dibayar sebagai gaji kepada rakyat dengan selebihnya adalah dasar dan keputusan kerajaan luar biasa yang membolehkan kita mengeluarkan duit KWSP, yang membolehkan kita bayar PTPTN lambat, yang membolehkan kita bayar sewa percuma untuk enam bulan dan sebagainya… maka ini membantu aliran tunai.

“Sekarang ini fokusnya untuk kerajaan membantu aliran tunai individu dan aliran tunai syarikat. Ini bukan pakej untuk mengkayakan orang. Kalau nak pakej mengkayakan orang tidak tahulah kena fikir macam mana.

“Sekarang ini nak membantu aliran tunai agar orang ramai boleh ‘survive’ supaya besok apabila krisis ini beransur pulih kita dalam keadaan baik dan syarikat pula tidak buang pekerja dan sesebuah syarikat itu boleh terus beroperasi selepas ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi secara umumnya rakyat agak gembira dengan pengumuman tersebut dan sekarang ini apa yang dibincangkan adalah daripada sudut pelaksanaan dan beliau penuh yakin dalam sehari dua perkara tersebut dapat diselesaikan.

“90 peratus agak gembira khususnya B40, M40 dan sedikit rungutan daripada PKS dan sebagainya  tetapi itu pun masih ada ruang untuk diperbetulkan. Jadi nampak semuanya positif dan sekarang adalah pelaksanaannya. Orang mula bertanya siapa B40, siapa M40 dan bagaimana nak tentukan pendapatan isi rumah kita jatuh di bawah julat yang ditetapkan.

“Saya harap benda ini jangan lambat dan dalam sehari dua ini sepatutnya persoalan ini semua dah selesai. Rakyat dah mula beralih kepada respond pelaksanaan.

“Saya fikir itu adalah tanda rakyat gembira dengan pakej tersebut. Jika tidak gembira akan ‘complaint’ dan tidak akan sebutkan soal pelaksanaan,” tambahnya lagi.

Dilaporkan, semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan suntikan sebanyak RM250 billion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.