Pakej PRIHATIN Berdasarkan Keupayaan Fiskal Semasa Negara – PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebanyak RM250 billion yang diumumkan hari ini adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pakej tersebut, di sini, hari ini, berkata strategi dan langkah yang akan dilaksanakan itu adalah manifestasi Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini.

Selain itu, katanya, kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

“Hampir semua langkah ini adalah secara one-off (sekali) supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan,” kata Muhyiddin.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata langkah yang diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN ini bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional.

Di samping itu, katanya, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.

Perdana Menteri juga memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk memastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.

Jelas beliau lagi, bagi menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, perdana menteri serta jemaah menteri dan timbalan masing-masing telah bersetuju untuk memotong dua bulan gaji mereka untuk disalurkan ke Tabung COVID-19.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) untuk memastikan pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion ini sampai kepada rakyat dengan cepat,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapan beliau turut meminta sokongan rakyat untuk berganding bahu dalam mengharungi krisis ini.

“Kita tidak sempurna, tetapi kita melakukan sedaya yang kita mampu untuk mengharungi krisis ini bersama-sama sebagai sebuah negara. InsyaAllah, apabila krisis ini berakhir kita akan bangkit semula dengan lebih kukuh lagi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.