Gagalkrasi PH Akui BN Tinggalkan Rizab Tinggi Tapi Lupa Sebut Mereka Paling Banyak Turunkan – Najib

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata sekarang ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta penganalisis ekonomi yang menyebut tentang rizab negara yang tinggi sejak beberapa hari lepas.

Oleh kerana itu kata bekas Perdana Menteri (PM) itu, mereka menyuruh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan rizab tersebut untuk menyelamatkan negara dari krisis COVID-19.

“Sebab itu, saya up-kan semula posting ini tentang contoh dua rizab sahaja yang ditinggal BN supaya mereka tak lupa.

“Kerajaan BN dulu masa saya PM naikkan nilai aset bersih Khazanah (Khazanah Nasional) dari RM32 bilion pada akhir tahun 2008 ke RM116 bilion pada akhir tahun 2017 sebelum kita kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Selepas PH ambil alih, nilai aset bersih ini telah jatuh ke RM91 bilion pada akhir tahun 2018 dan RM73 bilion pada akhir tahun 2019 kerana mereka banyak menjual aset,” tambahnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Najib lagi, rizab tunai Petronas pula naik dari RM30 bilion ke RM174 bilion semasa BN kalah PRU14.

“Namun PH telah menjarah sehingga RM104 bilion sehingga Petronas diturun penarafan oleh Moody’s buat kali pertama dalam sejarah pada bulan Jun 2019 lepas,” katanya lagi yang turut melampirkan pautan berita. https://www.bharian.com.my/…/moodys-turun-penarafan-petronas

Begitu juga ujarnya dahulu sebelum PRU14 sehingga kerajaan mereka tumbang, PH selalu fitnah bahawa dirinya yang mufliskan negara.

“Kini, mereka terpaksa mengaku bahawa BN semasa saya PM sebenarnya tinggalkan banyak aset dan rizab negara yang boleh digunakan untuk lawan krisis COVID-19.

“Tetapi PH lupa sebut pula bahawa mereka banyak menurunkan rizab negara dalam tempoh 22 bulan rejim Gagalkrasi mereka,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.