Manfaat Tangguh Bayaran Balik Pinjaman Libatkan Sekurang-Kurangnya RM100 Bilion – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini berkata manfaat langkah penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan serta penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan susulan impak COVID-19 melibatkan nilai berjumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion.

Beliau berkata impak wabak COVID-19 bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, malah Perintah Kawalan Pergerakan juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata bermula 1 April, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan PKS dalam tempoh yang amat mencabar ini.

Bagi pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukarkan baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit itu boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Dis, 2020, katanya.

Bagi sektor korporat, perdana menteri berkata mereka boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan masing-masing.

“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat serta ekonomi negara akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sudah diminta untuk memperincikan pengumuman berkenaan secara lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang dtawarkan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.