Ketepi Ketaksuban Melampau Hingga Menutup Kebenaran – Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan rakyat supaya mengetepikan budaya ketaksuban melampau dan kejumudan terhadap pimpinan serta parti politik sehingga menutup kebenaran.

Baginda bertitah agar rakyat menghormati prinsip demokrasi Raja Berperlembagaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia dan ia perlu terus menjadi tunjang pegangan dalam menanggani setiap isu.

Sultan Mizan menzahirkan perkara itu sempena persidangan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-4 di Wisma Darul Iman di sini yang diadakan secara tertutup berikutan wabak COVID-19 dan teks titah baginda diedarkan kepada ahli DUN yang hadir, serta media (menerusi email).

“Beta juga menyarankan agar sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri ke tahap tertinggi, mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing.

“Beta yakin negeri dan rakyat akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup, sekiranya sikap hormat menghormati dan mematuhi undang-undang dijadikan dasar utama,” demikian titah baginda menerusi teks itu.

Selain itu, baginda menyeru supaya kerajaan negeri melihat secara serius dalam menambah nilai potensi Lapangan Terbang Sultan Mahmud kerana ia berupaya menjadi hab kargo bagi pasaran Asia Pasifik, berikutan kedudukan Terengganu yang strategik bagi pasaran rantau ini.

Titah baginda, hab kargo itu berupaya meningkatkan hubungan pasaran bagi produk-produk keluaran penduduk Terengganu ke pasaran global dan lapangan terbang itu boleh dibangunkan dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang berasaskan aktiviti penerbangan yang lain.

Kerajaan Negeri turut diharap memberi penekanan kepada usaha menjenamakan negeri Terengganu, sebagai destinasi ekopelancongan yang kompetitif di rantau ini dan dalam usaha itu tumpuan harus diberikan kepada pembangunan variasi produk pelancongan di tanah besar.

“Dengan mengambil kira keunikan produk pelancongan dan potensi pembangunan di Muara Sungai Terengganu, Beta berpendapat aktiviti pendaratan kapal persiaran mewah sangat berpotensi digerakkan di Terengganu, dengan menampilkan akhlak dan tatasusila tempatan sepanjang tempoh kedatangan pelancong dari luar ini.

Tambah Baginda, kerajaan negeri disaran memberi perhatian serius dalam membangunkan sektor pertanian. berikutan ramai rakyat Terengganu khususnya golongan B40 berada dalam sektor itu dan mereka tergolong dalam kategori berpendapatan rendah.

Baginda mencadangkan agar 2021 diisytiharkan sebagai Tahun Pertanian Negeri yang mana tumpuan usaha dan peruntukan kewangan hendaklah diberikan, bagi memastikan usaha meningkatkan keupayaan sektor itu dapat dicapai.

Titah baginda, pada tahun 2018, Terengganu telah mencatatkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) sebanyak 2.5 peratus, berbanding 5.9 peratus pada tahun 2017 dan 3.1 peratus pada tahun 2016.

“Keadaan ini jelas menunjukkan ketidakstabilan pertumbuhan ekonomi negeri. Penurunan pertumbuhan KDNK Negeri pada tahun 2018 adalah didorong oleh kemerosotan dalam sektor pertanian dan pembinaan yang masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 2.5 peratus dan 9.2 peratus.

“Oleh itu, adalah sangat wajar sektor pertanian diberi ruang yang lebih besar untuk berkembang kerana sektor pertanian menjanjikan pulangan ekonomi yang tinggi jika dilaksanakan dengan kaedah yang tepat,” titah baginda melalui tekstersebut.

Sultan Mizan dalam titah ucapan itu juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana penjajaran haluan yang sama dengan kerajaan di peringkat persekutuan yang akan membuka ruang kerjasama lebih luas demi kepentingan negeri dan rakyat.

Baginda turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kerajaan negeri dalam pembangunan sumber manusia, kecemerlangan dalam bidang sukan, usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pendidikan, lonjakan dakwah syiar Islam, pelancongan dan pencapaian Revolusi Industri 4.0 di Terengganu setakat ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.