Harga Topeng Muka Diturunkan, Peruntukan RM12.2 Juta Untuk Pelajar Tinggal Di Universiti – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling topeng muka di bawah RM2 selain memberi peruntukan RM12.2 juta untuk sediakan makanan bagi 74,530 pelajar yang tinggal di universiti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, keputusan tersebut adalah antara hasil mesyuarat dan juga perbincangan dengan pihak industri.

“Harga topeng muka RM2 adalah terlalu mahal. Mesyuarat bersetuju bahawa harga siling topeng muka mesti diturunkan daripada RM2 kepada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah mereka berbincang dengan pihak industri.

“Saya jangka dalam waktu terdekat, kita beri tempoh paling cepat untuk pastikan harga yang bakal ditetapkan nanti mesti kurang RM2,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, di sini .

Selain itu kata Ismail yang juga Menteri Pertahanan, bekalan makanan juga adalah mencukupi dalam tempoh dua minggu PKP dilaksanakan.

“Sektor-sektor industri makanan ini kita benarkan untuk meneruskan kerja misalnya nelayan tidak ada halangan untuk ke laut menangkap ikan. Pekebun-pekebun sayur juga dibenarkan untuk meneruskan kerja mereka. Malah kenderaan-kenderaan untuk mengangkut produk-produk makanan boleh bergerak seperti biasa. Ini adalah bagi memastikan makanan mencukupi dan tidak ada gangguan.

“Walaupun penoreh getah masih lagi berkerja seperti biasa tapi banyak pusat-pusat pembelian getah ditutup. Pusat pembelian getah mesti dibuka untuk membantu penoreh-penoreh getah menjual hasil torehan mereka. Jika ada yang berdegil untuk tidak mahu membuka pusat pembelian ini, tindakan akan dilaksanakan oleh kementerian berkaitan.”

Dalam masa yang sama beliau turut memaklumkan tentang perkembangan untuk para pelajar yang masih menghuni kolej-kolej kediaman di universiti.

“Sewaktu saya mengumumkan tentang bantuan makanan untuk pelajar-pelajar di kolej (dalam sidang media sebelum ini), saya tidak menyebutkan secara menyeluruh sebaliknya mengumumkan 60,000 sahaja penerima bantuan ketika itu.

“Jadi saya ingin memaklumkan bahawa bantuan makanan untuk pelajar-pelajar kolej (pelajar universiti yang tinggal di kolej) yang tidak pulang ke kampung, kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan mereka dan pelajar-pelajar tersebut bukan sahaja daripada IPTA, tetapi juga terdiri daripada IPTS, Kolej Komuniti, Institut Pengajian Guru, malah program matrikulasi. Ianya melibatkan 74,530 pelajar dan jumlah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk 11 hari ialah sebanyak RM12,297,450.00.”

Ini bermakna katanya, semua pelajar kolej yang tidak pulang ke kampung ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Mengulas berkaitan kebimbangan orang ramai tentang stesen minyak, Ismail menjelaskan, setiap stesen minyak diwajibkan menyediakan ‘hand sanitizer’ di stesen minyak masing-masing.

“Setiap pemandu yang ingin mengisi minyak boleh mencuci tangan dahulu sebelum mengepam minyak dan mencuci tangan semula selepas guna untuk meneruskan perjalanan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana kadar pematuhan terus meningkat dari masa ke semasa. Saya harap patuhlah kepada peraturan yang dibuat oleh kerajaan. Sila berada di rumah dan keluar apabila perlu sahaja,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bera. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.