Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan, Rakyat Perlu Ambil Pengajaran Negara Lain Yang Terkesan Teruk – Najib

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyeru rakyat Malaysia agar memahami dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku di negara-negara lain mengenai penularan virus COVID-19.

Katanya, semua rakyat mesti terus ambil serius Perintah Kawalan Pergerakan, berikutan tiada pilihan untuk mengekangnya kerana peluang hanya sekali sahaja.

“Kita perlu memberi kerjasama penuh dengan mematuhi perintah kawalan untuk duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar serta mengamalkan tabiat menjarakkan diri dari orang sekeliling semasa di luar rumah dalam tempoh kritikal ini.

“Kita juga perlu menggalakkan sesiapa yang percaya mereka telah terdedah kepada risiko COVID-19 untuk berhubung dengan Kementerian Kesihatan dengan segara,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, pagi Jumaat lalu, beliau telah memuat naik satu kemaskini terkini jumlah kes COVID-19 untuk hari sebelumnya.

“Masa itu, jumlah kes COVID-19 seluruh dunia ialah 220,097 manakala 8,982 orang terkorban.

“Tiga hari kemudian, jumlah kes seluruh dunia telah naik 86,580 kes dan telah mencecah 306,677 dengan 13,017 orang terkorban.

“Enam buah negara dalam dunia telah mencecah jumlah 20,000 kes,” ujarnya.

Tambahnya, Amerika Syarikat menjadi negara dengan jumlah kes ketiga terbanyak dalam dunia manakala jumlah kematian 4,825 begitu juga dengan di Itali telah jauh melebihi negara China.

“Jumlah kes di Itali kini ialah 53,578 dan ianya menjadi negara paling terkesan oleh COVID-19 di mana satu orang dari setiap 1,100 penduduk telah disahkan positif.

“Semalam, Itali mencatat 6,557 kes baru dengan 793 nyawa terkorban,” katanya.

Seterusnya tambah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu lagi, Switzerland yang saiz penduduknya agak rendah dengan 8.6 juta orang adalah negara kedua paling terkesan di mana satu orang dari setiap 1,250 penduduk Switzerland telah dijangkit.

“Keadaan COVID-19 di Iran nampaknya mula menunjukkan sedikit kemajuan kerana jumlah kes tidak lagi semakin meningkat. Malah ianya mula menunjukkan trend menurun.

“Iran telah melaksanakan langkah yang amat drastik termasuk menghentikan solat Jumaat dan acara umum sejak 23 Feb dan larangan berkurung yang amat ketat dengan bantuan tentera sejak 13 Mac,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.