Perintah Kawalan Pergerakan Tepat, Jangan Politikkan Isu COVID-19 – Dr. Zaki

ALOR SETAR, 20 Mac – Pengamal perubatan yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Kuala Kedah, Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid, menyelar tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang cuba mempolitikkan isu virus COVID-19.

Jelas beliau, sikap sebegini tidak akan membantu kerajaan dalam menangani penyebaran wabak virus ini.

“Jadi saya berharap orang ramai agar jangan sesekali menjadi masalah mahupun mencipta masalah bagi memburukkan lagi pencegahan virus COVID-19 dari merebak. Sikap menyebarkan berita tidak benar mahupun mempolitikkan isu ini sama sekali tidak membantu mengurangkan serangan panik yang melanda rakyat di negara ini.

“Kita jangan jadi masalah, tidak kira pembangkang atau kerajaan, sekarang ini kita berharus bersama-sama membantu menangani virus ini. Jangan politikkan isu COVID-19.

“Tapi masalahnya sekarang ini kebanyakan orang suka memburukkan keadaan, suka jadi masalah dan buat masalah. Perkara sebegini tidak membantu untuk menenangkan rakyat yang sudah mula panik. Jadi lebih baik kita kongsi perkara yang positif,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen ‘Kopi O’ anjuran UMNO Negeri Kedah yang bertajuk ‘Sejauh Manakah Keberkesanan Langkah Kawalan Pergerakan Mencegah Wabak COVID-19’.

Tambah Dr. Zaki, tindakan kerajaan mengenakan kawalan pergerakan bagi mencegah penularan wabak ini sebenarnya adalah sangat tepat dan kena pada masanyanya.

“Paling utama dalam mencegah penyakit-berjangkit ini adalah mencegah pergerakan sosial. Kita dapat mencegah penyakit polio dan tibi bukan hanya semata-mata kerana antibiotik tetapi perubahan dari segi urbanisasi… lebih baik dan pembangunan perubatan menjadikan ia dapat dikawal.

“Maksudnya, tindakan kerajaan dan masyarakat dari segi tindakan sosial harus dibuat dengan baik. Inilah kaedah yang sangat penting. Kalau nak tunggu vaksin dalam masa yang singkat, ia adalah satu perkara yang mustahil. Nak kaji ambil masa maka kaedah kawalan pergerakan adalah yang terbaik bagi menyekat rantaian penyebaran wabak ini.

“Sejarah sudah membuktikan bahawa kawalan pergerakan berjaya mengekang penyebaran penyakit-berjangkit. Jika dilihat pada sejarah bagaimana suatu ketika dulu penyakit H1N1 yang bermula di China membunuh berpuluh ribu orang berjaya dikawal dalam masa dua tahun apabila kawalan pergerakan dilakukan secara ketat,” jelas beliau.

Menerang dengan lebih lanjut berkaitan COVID-19, Dr. Zaki berkata, masalah dengan virus ini adalah ia mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, dan walaupun berada dalam udara tapi ia boleh bertahan selama tiga jam.

“Walaupun tidak menyentuh tapi kita boleh dapat juga kalau kita berada dalam ruang yang sama. Masalahnya, pembawa tidak semestinya demam. Virus ini juga boleh duduk selama 48 ke 72 jam di permukaan. Jadi, kaedah pencucian adalah baik kerana terdedah dan menjadi sumber merebak jika ada yang menyentuh.

“Semua orang kena faham, ini adalah jalan terbaik buat masa ini dan tindakan kerajaan ini adalah tepat.

“Kalau rakyat masih tidak ambil peduli, masih bergerak seperti biasa, mungkin keadaan menjadi lebih teruk. Kerajaan juga perlu keluarkan lebih banyak sumber dan tenaga kerja untuk merawat mereka yang dijangkiti. Dalam masa 14 hari kita berharap dapat perlahan dan seterusnya memberhentikan penyebaran virus ini dengan syarat beri kerjasama, ini bukan perkara main-main,” tegas beliau lagi.

Terbaru Kerajaan memaklumkan, khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing, dalam usaha membendung penularan kes COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.