Pahang Umum Empat Inisiatif Bantu Mereka Terjejas Pendapatan

KUANTAN, 20 Mac – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan empat inisiatif, untuk membantu golongan yang terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, susulan wabak COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata insiatif itu termasuklah peruntukan khas RM2 juta daripada kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang akan diagihkan kepada mereka yang layak dengan perinciannya akan ditentukan kelak.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang kepada 2,895 penerima bagi bulan April, yang akan dibayar pada 27 Mac ini.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) juga akan memberi kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis mereka, selain pekerja sambilan harian di bahagian pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri akan menerima elaun penuh sepanjang tempoh perintah itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Wan Rosdy seterusnya mengajak orang ramai dan syarikat di Pahang, untuk turut membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan perintah itu yang bermula semalam hingga 31 Mac ini, menerusi mekanisme yang akan ditentukan Pejabat Kewangan Negeri.

Selain itu, beliau juga memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuantan, Pekan, Jerantut, Bentong dan Temerloh akan menutup semua premis perniagaan bermula 7 petang hingga 7 pagi mulai Sabtu ini (21 Mac), ekoran berlaku kes positif COVID-19 di daerah tersebut.

Sementara di Cameron Highlands arahan menutup operasi premis perniagaan untuk tempoh waktu itu sudah mula dilaksana sejak semalam, katanya.

“Tindakan ini terpaksa diambil untuk membendung penularan virus itu dan kita berharap, orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun, jangan panik dan tolong dapatkan maklumat sahih menerusi Kementerian Kesihatan sahaja,” katanya.

Wan Rosdy berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan rasmi daripada mereka yang dikecualikan bekerja, dipaksa hadir bekerja oleh syarikat di Pahang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.