COVID-19: Johor Umum Insentif Termasuk Bantuan ‘One-Off’ Kepada Pesakit Positif

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan beberapa insentif menerusi ‘Inisiatif Ihsan Johor’ dalam meringankan impak ekonomi yang dialami semua pihak di negeri ini ekoran COVID-19, antaranya bantuan ‘one-off’ RM1,000 kepada semua pesakit yang didapati positif jangkitan itu.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju memberi bantuan ‘one-off’ RM20,000 kepada setiap 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor manakala sebagai tanda takziah, kerajaan negeri akan menyampaikan RM2,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Katanya pada masa sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) juga akan mempertimbangkan bantuan segera kepada asnaf yang terkesan akibat COVID-19.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari ketiga hari ini, kerajaan negeri menyedari implikasi ekonomi yang dirasakan kebanyakan rakyat. Kerajaan negeri faham bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ini sedikit sebanyak telah meminimumkan rutin kehidupan seharian kita semua.

“Semua lapisan masyarakat termasuk juga pekebun kecil, peniaga pasar malam, pekerja di sektor awam dan swasta sama ada di skala sederhana atau besar, anak-anak serta ibu bapa kita semua sedang menerima kesannya,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Hasni berkata selain kebajikan masyarakat, kerajaan Negeri Johor juga akan memberi insentif pengecualian bayaran sewa premis bermula April sehingga Disember tahun ini kepada golongan peniaga antaranya yang menyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasar awam, yang kesemuanya melibatkan 10,371 peniaga.

“Sementara itu, peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri yang diuruskan contohnya oleh Perbadanan Usahawan Negeri Johor iaitu berjumlah 151 buah juga akan diberi kelonggaran dan insentif yang sepatutnya manakala bagi kakitangan kerajaan negeri yang berstatus pekerja sambilan harian pula, gaji mereka akan dikira sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Johor juga akan terus mengambil langkah dan inisiatif-inisiatif untuk memastikan Jabatan Kesihatan dan Pejabat Penerangan akan terus memaklumkan kepada masyarakat umum berkenaan perkembangan dan juga status COVID-19 dari semasa ke semasa.

“Langkah-langkah akan sentiasa kerajaan negeri Johor beri perhatian termasuk apa juga pihak yang terkesan daripada COVID-19 ini, segala bentuk bantuan akan kerajaan usahakan cara dan bagaimana ia dapat meringankan beban dihadapi mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini,” kata Hasni dengan menambah beliau bersama-sama Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani akan mengumumkan lagi segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh rakyat.

Katanya sewaktu lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hospital Permai semalam, laporan yang diberikan oleh Pengarah Kesihatan Johor, pesakit yang didapati positif COVID-19 di negeri ini adalah seramai 88 orang dan sehingga 12 malam tadi, angka tersebut meningkat kepada 101. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.