Hishammuddin Lega Penganjur Tangguh Perhimpunan Tabligh Di Indonesia

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berasa lega dengan keputusan pihak penganjur yang memutuskan untuk menangguh perhimpunan tabligh di Indonesia.

Hishammuddin berkata Wisma Putra tetap dengan berpendirian bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ramai yang mesej saya tentang perhimpunan tabligh di Indonesia semalam kerana risau ia boleh merebakkan COVID-19, khususnya rakyat Malaysia yang hadir,” katanya menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 di sini hari ini.

Menurut laporan Agensi Acara Ijtima of Asia 2020 yang berlangsung di Gowa, Sulawesi Selatan dibatalkan bagi mengekang penularan virus COVID-19.

CNN Indonesia melaporkan, penangguhan acara itu selepas kerajaan Indonesia bekerjasama dengan tentera serta polis melarang orang ramai daripada berhimpun termasuk dalam aktiviti keagamaan.

Bernama sebelum ini melaporkan acara itu yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh, dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana. – BERNAMA