‘Duduk Di Rumah’: Ahmad Maslan Berpesan Melalui Pantun

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Demikian juga saranan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menukilkan dua rangkap pantun di Facebooknya dengan tanda pagar #COVID19.

Jalan terus, jumpa paya,
Tak ikut kata, salah arah,
Corona virus, amat bahaya,
Mari kita, duduk rumah.

Tiada sengketa, tiada marah,
Ramai teman, gembira hati,
Jika kita, duduk di rumah,
Virus jangkitan, boleh dihenti.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, sememangnya terkenal di kalangan rakyat sebagai seorang yang mampu berpantun secara spontan.

Untuk rekod, Muhyiddin di dalam perutusannya itu beberapa kali menyebut ‘stay at home’ kerana masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami atau masih memandang ringan tujuan utama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Gesaan Perdana Menteri itu berikutan ramai rakyat Malaysia dilaporkan berpusu-pusu memenuhi stesen-stesen pengangkutan awam atau bersesak di jalan raya seolah-olah mengambil kesempatan balik kampung menjelang hari penguatkuasaan Perintah Larangan Pergerakan dan tindakan itu boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Sedangkan tegas Muhyiddin, tujuan penting pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ialah untuk memutuskan rangkaian jangkitan supaya jumlah yang dijangkiti wabak COVID-19 itu dapat dikurangkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.