Pahang Aktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Daerah

KUANTAN, 18 Mac – Kerajaan negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan gerak kerja yang tersusun dan menyeluruh dalam berdepan penularan COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata di peringkat negeri, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak manakala pegawai daerah mengetuai jawatankuasa di peringkat daerah.

“Keputusan ini dibuat demi membendung gejala penularan COVID-19 daripada menjadi lebih parah. Akan berlaku sedikit ketidakselesaan kepada kehidupan biasa seharian kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, tapi ini adalah pengorbanan yang harus kita lakukan.

“Semoga kita akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam tempoh sukar ini untuk mendapatkan hasil terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah membuat beberapa keputusan yang selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang pelaksanaan perintah itu, termasuk berkaitan operasi premis perniagaan di Pahang.

“Pasar awam hanya dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 12 tengah hari manakala semua aktiviti pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan ‘car boot sale’ adalah dihentikan. Semua bentuk hiburan dan sukan juga ditutup.

“Bengkel kenderaan, pusat servis dan kedai tayar dibenarkan beroperasi bermula 10 pagi hingga 3 petang manakala kedai menjual makanan dan keperluan haiwan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah hari,” katanya.

Wan Rosdy berkata pusat asuhan kanak-kanak khusus untuk anggota perkhidmatan penting juga dibenarkan terus beroperasi manakala penghuni hotel serta asrama institusi pengajian tinggi boleh kekal menginap di premis tersebut.

Bagi pemegang permit atau lesen batuan, balak dan mineral, katanya mereka dikhendaki menghentikan aktiviti pemindahan, pengeluaran dan pemprosesan bahan itu.

Masjid dan rumah ibadat hanya boleh beroperasi bagi tujuan pengurusan kematian, katanya.

Sementara itu, Sallehuddin berkata mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan hari ini, akan diberikan nasihat terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan undang-undang dalam masa terdekat.

“Kita memanggil semua pihak penguatkuasaan peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan di Pahang hari ini untuk memastikan tiada kekeliruan dalam pelaksanaan perintah itu kerana kita mahu memastikan ia berkesan dalam mengekang penularan COVID-19.

“Sebarang kekeliruan yang timbul akan diselesaikan selain pelaksanaan operasi diselaraskan hari ini. Malah Jawatankuasa Pengurusan Bencara peringkat negeri akan bermesyuarat setiap hari sepanjang tempoh perintah itu berkuat kuasa,” katanya.

Sallehuddin berkata jawatankuasa khas bagi memantau harga dan bekalan barang keperluan asas juga telah ditubuhkan dan setakat ini mendapati tidak berlaku kenaikan harga atau kekurangan bekalan disebabkan pembelian panik di Pahang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.