Perintah Kawalan Pergerakan: Abdul Rahman Kemuka Beberapa Cadangan


TUARAN, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan beberapa langkah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinetnya di dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara.

Katanya dalam satu kenyataan, antara cadangan yang disentuh adalah kerajaan tidak perlu mengumumkan dasar yang tidak efektif tetapi merugikan.

“Contohnya 2% diskaun bil elektrik tidak efektif tapi akan menyebabkan kos subsidi kerajaan sebanyak RM500 juta sedangkan harga minyak dan arang batu sudah murah dan kos operasi TNB sudah berkurangan. Biarlah diskaun itu ditanggung oleh TNB bukannya kerajaan.

“RM500 juta subsidi kerajaan itu boleh digunakan untuk membeli ventilator dan peralatan kesihatan yang lain dalam menghadapi kes-kes yang dijangka akan memuncak dalam beberapa minggu akan datang,” jelasnya.

Malam tadi, dalam satu sidang media, Perdana Menteri merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia adalah tanggungjawab bersama dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Seterusnya, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran turut mendoakan agar Allah melindungi Malaysia dan rakyatnya.

Berikut merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Rahman:

1) Benarkan pengusaha kimia untuk tukar bisnes kepada membuat hand sanitizer walaupun tidak ada lesen dari MOH dan KPDNKK. Stok hand sanitizer amat terhad dan ianya amat penting untuk pembersihan tangan. Kompoun untuk membuat hand sanitizer tidaklah sukar atau complicated sangat. Lagipun ianya tidak dimakan jadi lesen-lesen tertentu itu boleh dimansuhkan. Kalau supply botol plastik tidak mencukupi, benarkan mereka menjual dalam bentuk kuantiti yang boleh diisi dalam botol kosong yang dibawa oleh pembeli.

2) Benarkan pengusaha restoran makan untuk terus beroperasi tanpa pelanggan. Sekurang-kurangnya mereka boleh menghantar makanan melalui food panda atau Grab food. Budak-budak yang menghantar makanan pun boleh cari pendapatan dalam keadaan sekarang ini. Pengusaha restoran pun boleh bernafas sedikit.

(3) Semua material atau produk dari China yang tersadai di warehouse atau gudang di pelabuhan Malaysia dibenarkan untuk dilepaskan tanpa kuarantin yang terlalu panjang. World Health Organisation (WHO) berpandangan jangkitan virus melalui hantaran package atau hantaran barangan sangat rendah. Sekurang-kurangnya kilang di Malaysia masih boleh beroperasi.

(4) Haramkan short selling dalam Bursa Malaysia di mana pelabur boleh menjual saham yang dia tidak pegang dengan harapan dapat membeli saham tersebut pada harga yang rendah. Ini akan menyebabkan harga saham mendapat tekanan jualan dan harga akan jatuh lagi.

(5) Online business mesti digalakkan lagi. Perniagaan atas talian tidak ada interaksi fizikal.

(6) Tidak benarkan pembelian makanan dan barangan rumah yang berkelebihan. Siapa yang buat boleh didakwa.

(7) Jangan umum dasar yang tidak efektif tapi merugikan. Contohnya 2% diskaun bil elektrik tidak efektif tapi akan menyebabkan kos subsidi kerajaan sebanyak RM500 juta sedangkan harga minyak dan arang batu sudah murah dan kos operasi TNB sudah berkurangan. Biarlah diskaun itu ditanggung oleh TNB bukannya kerajaan. RM500 juta subsidi kerajaan itu boleh digunakan untuk membeli ventilator dan peralatan kesihatan yang lain dalam menghadapi kes-kes yang dijangka akan memuncak dalam beberapa minggu akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.