COVID-19: MB Minta Rakyat Perlis Jangan Panik

KANGAR, 17 Mac – Rakyat Perlis dinasihatkan jangan panik dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diiystiharkan kerajaan bermula esok bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini kerana mereka masih boleh keluar dari rumah dan kedai-kedai tetap dibuka.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata salah faham akan arahan itu telah menyebabkan rakyat di negeri itu panik dan menyerbu pasar raya dan kedai yang menjual bekalan makanan harian.

“Arahan perintah kawalan pergerakan oleh Perdana Menteri itu pula secara umumnya adalah arahan rakyat Malaysia tidak boleh ke luar negara dan bukan warganegara tidak dibenarkan masuk ke negara kita dalam tempoh tertentu.

“Tapi tidak ada larangan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan keperluan makanan, bekerja serta melakukan aktiviti harian lain,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Azlan turut menegaskan rakyat tidak digalakkan atau dilarang mengadakan perhimpunan yang boleh meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Kerana itu tidak perlu panik dan berebut-rebut untuk beli barang keperluan harian. Kita hanya perlu ambil tindakan-tindakan seperti arahan dan nasihat pihak berkuasa untuk mengelakkan dari risiko jangkitan COVID-19. Jadi, rakyat Perlis tidak perlu panik kerana ini bukan perintah berkurung!,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, seorang suri rumah Rujidah Mulah, 22, yang akur dengan arahan kerajaan itu berkata dia ke kedai runcit untuk memberi barangan makanan tertentu sahaja kerana jaminan kerajaan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi dan pasar raya serta kedai runcit beroperasi seperti biasa.

“Bagi saya buat apa nak ‘kalut’ (cemas) dengan melakukan ‘pembelian panik’ sedangkan kerajaan telah memberi jaminan bahawa keadaan terkawal,” katanya, ketika ditemui Bernama.

Berkongsi pendapat sama, peniaga kedai makan, Faris Najwan Abd Latiff berkata dia hairan melihat orang ramai yang kelam-kabut memberi barangan sedangkan perdana menteri sudah memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.