Junjung Kasih Tuanku… Blok Pembangkang Selangor Akan Pantau, Semak Imbang Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 16 Mac – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail menjunjung kasih atas titah ucapan Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan tentang kemakmuran negeri Selangor sebagai negeri yang maju dan terus kekal negeri utama yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Kata Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, atas mandat rakyat, beliau yang mewakili blok pembangkang di negeri itu amat yakin untuk terus memantau, semak dan imbang di dalam Kerajaan Negeri Selangor dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diangkat menjadi agenda utama.
“Tuanku Sultan Selangor menitahkan pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional bagi menggantikan Kerajaan Pakatan Harapan adalah mengikut perlembagaan selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada istilah kerajaan pintu belakang ataupun satu rampasan kuasa yang digemburkan oleh segelintir pihak,” tegasnya lagi.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar berkata demikian mengulas titah Sultan Selangor yang merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor yang keempat belas tahun 2020 di Bangunan DUN di sini hari ini.

Katanya dalam satu kenyataan, selain daripada aspek-aspek ekonomi, teknologi dan kepentingan alam sekitar yang membantu kemajuan di Selangor, Tuanku Sultan Selangor juga menekankan tentang isu kestabilan politik dan pentadbiran negeri.

Dalam Istiadat Pembukaan Persidangan tersebut, Sultan Selangor menitahkan kepada semua supaya tohmahan mengatakan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ atau rampasan kuasa harus dihentikan segera.

Ini kerana titah baginda, tohmahan seumpama itu adalah tidak tepat memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara Seri Paduka sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang.

Baginda juga bertitah, rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga ke hari ini ketika mana rakyat ketika ini mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit merudum, peluang pekerjaan mengecil mengakibatkan peningkatan pengangguran serta penularan COVID-19 ketika ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.