Enam Tuntutan UMNO Antaranya RCI Penyelewengan Kerajaan PH, Kes Adib Memenuhi Aspirasi Rakyat – Afriz

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Afriz Mohd Noor berkata, sebagai sebuah kerajaan yang dibentuk atas hasrat mahu menyelamatkan Malaysia maka ianya perlu mencakupi semua aspek, bukan sahaja terarah kepada soal ekonomi semata-mata tetapi juga hal melibatkan nasib rakyat perlu diutamakan.

Katanya, UMNO sebagai parti terbesar dalam pembentukan kerajaan hari ini wajar untuk menyuarakan tuntutan tersebut kerana dasar dan agenda parti yang sememangnya membela bukan sahaja orang-orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi penyelewengan PH, menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset- aset, memenuhi prinsip Rule of Law yang sebenar, menyegerakan siasatan dan pendakwaan kes kematian anggota Bomba, Allahyarham Adib, membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak dan sebagainya lagi adalah satu keperluan paling penting yang perlu disegerakan oleh kerajaan.

“Langkah ini bakal memberikan gambaran yang sebenar selain mampu meredakan keresahan rakyat khususnya di akar umbi. Atas nama aspirasi rakyat dan untuk memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara tuntutan tersebut penting dan perlu direalisasikan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Kerana itu , jelas beliau lagi enam tuntutan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah kena dan tepat pada masanya.

Justeru,tambah beliau lagi apabila kerajaan baharu dibentuk atas diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agung maka semestinya kerajaan itu harus meneliti dan menilai setiap perkara-perkara yang berbangkit kerana ia bakal menjadi kayu ukur rakyat terhadap kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Rakyat sudah membuktikan betapa kuasa undi yang dimiliki mampu menumbangkan sebuah kerajaan yang adil lagi saksama seperti mana yang berlaku terhadap kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Walaupun selepas itu masing-masing sedar bahawa keputusan itu sebenarnya terhasil daripada momokan politik palsu pihak pembangkang namun keputusan tetap keputusan”, tambah beliau. –UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.