Kertas Putih Pertahanan Panduan Utama Perancangan, Pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kertas Putih Pertahanan (KPP) akan terus menjadi panduan utama Kementerian Pertahanan dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan akan kekal komited dalam memastikan pertahanan negara terus diperkukuh untuk tempoh 10 tahun akan datang seperti digariskan KPP.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan yang baru terbentuk ini adalah matang dan sentiasa mengamalkan demokrasi. Pertahanan negara adalah satu agenda negara yang tidak boleh dikompromi dan setiap dasar yang telah dipersetujui di Parlimen akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Sambutan dan Mula Tugas Menteri Pertahanan di sini, hari ini.

Pada 2 Dis tahun lepas, KPP dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat dan kertas putih itu menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

KPP yang melibatkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pengukuhan pertahanan secara komprehensif.

“Ia melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat serta perkongsian yang berwibawa dengan negara jiran serta negara luar dalam memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan terus memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran ATM serta orang awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.

“Kebajikan merupakan salah satu elemen penting dalam tahap kesiagaan yang tidak boleh diambil remeh dan perlu diberi keutamaan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berharap warga Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama penuh dan sokongan padu kepada beliau serta Timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dalam menguruskan pertahanan negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kementerian Pertahanan terdahulu yang telah membawa agenda pertahanan negara ke peringkat ini,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Ismail Sabri dan Ikmal Hisham di Wisma Pertahanan hari ini bagi memulakan tugas rasmi disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima ATM Tan Sri Affendi Buang dan panglima-panglima perkhidmatan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.