Kabinet Dibentuk PN Berfungsi Dan Berkhidmat Untuk Semua – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 11 Mac – Kabinet yang dibentuk Perikatan Nasional (PN) adalah yang berfungsi dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan yang dibentuk dalam keadaan ‘luar biasa’ itu komited untuk bekerja berlandaskan integriti tinggi termasuk memerangi rasuah dan mengisytiharkan harta di peringkat Jemaah Menteri.

Muhyiddin berkata kerajaan baharu akan membuat tawaran baharu yang lebih bermanfaat kepada rakyat melalui cadangan-cadangan yang dikemukakan kementerian dan jabatan.

“Rakyat dan pelabur asing ingin tahu apakah sebenarnya dasar kerajaan PN yang kita bentuk ini. Disebabkan kita tiada manifesto, maka kita putuskan setiap kementerian dan jabatan untuk memberi cadangan perkara apakah yang akan menjadi keutamaan.

“Pastinya ia boleh dilakukan dan memberi manfaat dan faedah segera kepada kumpulan tertentu. Apabila perkara ini disiapkan, kita akan maklumkan kepada rakyat apa yang terkandung di dalam kerajaan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Perdana Putra di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan akan berlaku adil kepada rakyat dalam menyampaikan bantuan tanpa mengira latar belakang agar tiada kumpulan atau pihak yang tertinggal.

“Ini teras kepada rakyat supaya mereka tahu kemampuan kita yang bersedia berkhidmat secara berganda kepada rakyat. Kita anggap diri kita hamba kepada rakyat, saling bantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Inilah kerajaan untuk semua,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa jemaah menteri komited dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat yang memerlukan perhatian dan penyelesaian segera khususnya sewaktu ekonomi negara dalam keadaan meruncing ekoran kejatuhan harga minyak semasa dan kesan jangkitan COVID-19.

Mengulas lanjut mengenai integriti, Muhyiddin berkata ia diletakkan pada tahap tertinggi dalam kerajaan PN yang menuntut kesemua anggota Jemaah Menteri membuat pengisytiharan harta dalam tempoh sebulan bermula sekarang.

Beliau berkata borang pengisytiharan itu akan diedarkan dan diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang diamalkan pentadbiran lepas.

Dalam hal berkaitan Sabah dan Sarawak, Muhyiddin berkata Kabinet juga bersetuju agar mesyuarat pertama diadakan dengan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal kedua-dua negeri itu bagi membincangkan beberapa perkara seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mesyuarat akan berbincang mengenai masalah MA63 dan mungkin pindaan Perlembagaan untuk menyempurnakan kehendak dan hajat orang-orang Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam perjanjian itu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemotongan gaji anggota Kabinet, Muhyiddin berkata: “Saya menerima cabaran untuk gaji saya dipotong. Saya tidak tahu, mungkin lima atau 10 peratus. Kami tidak membincangkan perkara itu hari ini, jadi jangan buat andaian.

“Tetapi kebanyakan di sini percaya, kami dapat menyumbang apa yang boleh, saya harap ia dapat menjimatkan beberapa juta (ringgit). Kami boleh lakukannya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.