Covid-19: Kabinet Putus Sekat Kemasukan Rakyat Itali, Iran Dan Korea

NILAI, 11 Mac – Malaysia membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan, berkuat kuasa Jumaat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertama jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional hari ini setelah mengambil kira status semasa penularan virus COVID-19.

Sekatan itu juga terpakai kepada rakyat asing lain yang datang dari tiga negara berkenaan atau transit di mana-mana pintu masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) di sini, yang menempatkan 66 individu warga Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Wuhan, China pada 26 Feb lepas.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Dr Adham berkata rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Itali, Iran dan Korea Selatan pula akan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Langkah itu juga berkuat kuasa Jumaat 13 Mac.

Selain itu, sekatan perjalanan ke atas tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokkaido di Jepun yang diputuskan sebelum ini, masih berkuat kuasa, katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata kutipan tabung COVID-19 yang diuruskan NADMA dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus tersebut, iaitu mereka yang menjalani pengawasan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif COVID-19.

“Sumbangan bantuan RM100 sehari akan diberi kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang proses itu,” katanya.

Ditanya adakah kerajaan akan melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di tiga negara berkenaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia, Dr Adham berkata mereka yang bertugas di luar negara boleh pulang dan menjalani proses kuarantin di sini.

“Kami memerhatikan perkara ini dalam konteks sekiranya mereka juga dikenakan perintah kuarantin di sana. Kalau tak ada, sebagai rakyat Malaysia kita ikut apa yang kita laksanakan sebelum ini iaitu mereka boleh balik, tapi perlu melalui prosedur yang kita laksanakan seperti biasa,” katanya.

Mengenai kemungkinan kerajaan melaksanakan misi ketiga ke Wuhan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana, beliau berkata pihaknya akan melihat cadangan dari Wisma Putra untuk keperluan itu.

Terdahulu, Dr Adham diberi taklimat mengenai operasi dan pengurusan orang di bawah pengawasan (PUS) yang ditempatkan di Akept.

Seramai 68 individu warga Malaysia, pasangan serta anak bukan warganegara dan dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dikuarantin selama 14 hari, bermula 26 Feb lepas. Kesemua mereka dibenar pulang hari ini selepas disahkan negatif COVID-19. – BERNAMA