BN Berjaya Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum, Datang PH Naikkan Kembali – Rahman

TUARAN, 9 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kejatuhan harga minyak yang berlaku pada hari ini mengingatkannya kepada kejatuhan harga bahan bakar itu pada tahun 2014 hingga 2016 yang juga jatuh untuk tempoh masa yang agak lama pada harga yang lebih kurang sama.

Katanya pada ketika itu, negara mempunyai hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengurangkan impak pengurangan hasil kerajaan tetapi kini tiada lagi cukai yang efektif dan efisyen itu untuk menampan kejutan harga komoditi apabila ianya dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dua tahun lepas, diganti cukai yang regresif; Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kesannya, kebergantungan kerajaan terhadap hasil petroleum kembali meningkat. Sebelum GST diperkenalkan pada tahun 2015, lebih 40% hasil kerajaan disumbangkan oleh hasil minyak dan gas.

“Selepas GST dilaksanakan, peratusan hasil petroleum menyumbang hanya 14.6% daripada keseluruhan hasil kerajaan.

“Selepas PH menang, peratusan hasil petroleum kepada keseluruhan hasil kerajaan kembali meningkat kepada 30.9% tahun lepas dan dijangka meningkat tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian mengulas mengenai berita pagi tadi, dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak lebih 20 peratus daripada $50 setong minggu lepas kepada $35 setong.

Seterusnya, Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Sabah itu turut membidas bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa mengumumkan Bajet 2020, mengasaskan bajet pada harga minyak $62 setong.

“Sekarang harga minyak $35 setong. Keadaan kewangan kerajaan akan lebih parah dan tenat.

“Pagi ini, indeks Bursa Saham Malaysia jatuh lebih 30 mata atau 2 peratus.

“Dalam keadaan ekonomi global yang meruncing kesan daripada Covid19 dan kini kejatuhan harga minyak mendadak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan kewangan kerajaan,” tambahnya.

Justeru itu, Abdul Rahman menggesa PH agar tidak berterusan bermain politik mengugut untuk melakukan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

“Kita perlukan memberi kepercayaan penuh kepada YAB PM untuk mengemudi negara dalam keadaan yang penuh mencabar ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.