Zahid Tawar Diri Tidak Dilantik Dalam Kabinet Kerajaan Baharu

 

BAGAN DATUK, 7 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk tidak dilantik dalam kabinet kerajaan baharu.

“Sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO saya memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan dalam kabinet.

“Kita berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada YAB Perdana Menteri melindungi Kerajaan Perikatan Nasional, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai yang mendapat pengampunan dari Allah swt ‘baldatun toyibah warabbur Ghafur’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan peringkat bahagian Bagan Datok, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid parti itu dan BN telah mengemukakan cadangan kepada PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin senarai nama-nama anggota Kabinet mengikut beberapa perkara asas antara lain peratusan (ratio-kadar) sumbangan parti itu di dalam pembentukan Kerajaan baharu dan keutamaan cadangan berdasarkan hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam parti.

“Kita memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PM untuk pelantikan-pelantikan yang akan dibuat dan memberikan kepercayaan kepada PM untuk meletakkan mereka yang berpengalaman dari dalam atau luar parti di potfolio-portfolio penting.

“Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda profesional serta teknokrat, tokoh BN, sahabat BN dari Sabah serta Sarawak telah disenaraikan malah memberi kepercayaan kepada PM untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih, berintegriti dan amanah bagi menganggotai kabinet

“Memberikan peluang kepada mereka yang menghadapi pertuduhan-pertuduhan di mahkamah untuk membersihkan diri melalui proses perundangan di mahkamah. Pembersihan diri hendaklah dibuat dengan tidak menggugurkan kes-kes mahkamah melalui keputusan Peguam Negara sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Tegas beliau pertuduhan-pertuduhan mahkamah secara terpilih dan bermotif politik dibuat oleh pemerintahan kerajaan PH yg lalu dan jika Peguam Negara terdahulu benar-benar telus, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga telus kenapa mereka perlu takut hingga meletakkan jawatan.

Tambahnya lagi mereka juga mengaku bahawa pelantikan mereka merupakan pelantikan politik oleh Perdana Menteri terdahulu dan siasatan serta pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan sudah pasti mengikut telunjuk ‘political master’ mereka.

“Pertuduhan-pertuduhan itu bermotifkan politik dan pertuduhan selektif serta tiada bukti serta saksi yang ‘credible’ sebagaimana yang terbukti ketika perbicaraan dijalankan. Siasatan dan semua pertuduhan dibuat untuk menjatuhkan imej serta kredibilti pemimpin UMNO dan mengharapkan parti tersebut akan hancur.

“Pemimpin-pemimpin UMNO dituduh untuk mengaibkan mereka serta bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap UMNO selain bertujuan untuk memecah-belahkan UMNO dari dalam dan luar parti. Ini juga untuk mewujudkan persepsi yang negatif (negative public perceprion) kepada rakyat dan PH mengharapkan UMNO serta BN runtuh terutama apabila kalangan Ahli Parlimen UMNO dibawa menyeberang,” tambahnya.

Tambahnya lagi UMNO Sabah cuba dihancurkan dengan 22 orang Ketua Bahagian telah menyeberang dan tinggal tiga orang sahaja yang tetap setia, namun UMNO Sabah terbukti kukuh dengan kemunculan pemimpin-pemimpin baharu dan kemenangan PRK Kimanis.

Malah katanya kagi BN cuba dipecah-perintahkan, namun BN terus kukuh bersama Muafakat Nasional dan terbukti dengn kemenangan bergaya dalam lima Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Tanjung Piai, Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Kimanis.

“Akibat sebaliknya PH sendiri yang runtuh. Doa orang yang dizalimi tiada hijab…Allah swt mendengar doa dan menjawab doa mereka… doa para ulamak,mereka yang bertaqwa,beriman dijawab oleh Allah swt.Kini kurang sepenggal PH runtuh. Saya pernah katakan… Kerajaan yang didirikan dengan ‘FITNAH’ akan runtuh dengan ‘FITNAH’ mereka sendiri,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.