‘Royal Coup’: Kenyataan Tidak Bertanggungjawab, Pihak Luar Tak Berhak Campur Tangan

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein menempelak pihak luar yang yang menuduh pihak Istana merampas kuasa kerajaan (royal coup).

Selarnya, kenyataan tersebut amat tidak bertanggungjawab.

“Saya harap penulisan artikel ini tidak didalangi oleh orang kita sendiri.

“Kedaulatan, keadilan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat rakyat sanjung tinggi.

“Tiada pihak luar berhak campur tangan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, sebuah akhbar dari United Kingdom menggambarkan seolah-olah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan sebagai ‘royal coup’.

Menurut pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, sebagaimana dilaporkan BERNAMA, segala tindakan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam menyelesaikan krisis politik negara baru-baru ini, adalah berpandukan kuasa diperuntukkan kepada Seri Paduka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, Perkara 43 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri, yang pada hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.