Agenda Dap Dibongkar, Wajah Sebenar Hipokrasi… Pembohong, Penuh Tipu Daya

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob melahirkan kemarahan terhadap Dap ekoran pendedahan oleh Zul Fikri Zamir (ZF Zamir) iaitu bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)

ZF Zamir mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) yang didominasi Dap melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengawal segala keputusan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu.

“Jika ini benar, jelaslah agenda Dap, wajah sebenar hipokrasi Dap, pembohongan, tipu daya Dap… celakalah Guan Eng. Moga jahanamlah pihak yang sanggup menjadi talibarut Dap!” tegas Suraya yang juga ADUN Sungai Tiang dalam kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.

Dalam pendedahan itu, dikatakan antaranya ialah bajet keselamatan sekolah yang dipotong RM50.7 juta manakala bajet kebersihan sekolah pula dipotong RM427.3 juta, maka, 1,382 syarikat terjejas dan 10,406 pekerja dibuang.

Selain itu Institut Terjemahan Buku Negara (ITMB) juga diarahkan tutup yang mana 96% daripada pekerjanya adalah orang Melayu dan 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) diarahkan tutup semata-mata untuk menjimatkan RM213 juta kerana tidak perlu bayar elaun pelatih guru.

Di sekolah pula, bajet ko-kurikulum tidak lagi turun, hinggakan sekolah tidak lagi mempunyai wang untuk membuat program keagamaan seperti Maulidur Rasul atau untuk membeli air mineral bagi murid yang mewakili sekolah ke kejohanan olahraga.

Ribuan program badan beruniform seperti kawad kaki dan program sukan di sekolah dibatalkan.

Namun yang peliknya berjuta diberikan kepada sekolah-sekolah SJKC oleh Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching.

Dilaporkan, semalam ZF Zamir mendedahkan menerusi tulisan di Malaysian Insight, dalam beberapa mesyuarat bersama, MOF menekan supaya KPM memotong pelbagai bajet hinggakan banyak perkara tidak boleh dilaksana oleh KPM ekoran dipotong atau disekat oleh MOF di bawah Lim Guan Eng.

Dedahnya, satu insiden berlaku dalam sebuah mesyuarat membabitkan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dan Dr Maszlee.

Bersama-sama di dalam bilik mesyuarat adalah pegawai tertinggi kedua-dua kementerian termasuk ketua setiausaha KPM dan MOF.

Dalam tulisannya juga, ZF Zamir berkata, mesyuarat itu terpaksa dilakukan setelah pelbagai usaha KPM untuk meneruskan bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Keselamatan (KBK) seperti tahun-tahun sebelumnya menemui jalan buntu.

Katanya, MOF telah menetapkan mahu mengurangkan bajet PKK sebanyak RM50.7 juta dan bajet BKK sebanyak RM427.3 juta untuk 2019 berbanding bajet yang diterima secara normal pada 2018 sebelumnya atau pengurangan RM478 juta keseluruhannya.

“Ini menyebabkan hampir 1,382 syarikat terjejas berbanding jumlah keseluruhan 1,953 kontrak yang dikeluarkan. Lebih menyedihkan, keputusan ini akan menyebabkan seramai 10,406 pekerjaan dikurangkan dalam dua fasa.

“Dalam dua mesyuarat bersama-sama Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada 31 Januari 2019 dan 27 Mac 2019 yang dibawa oleh saudara Arul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Maszlee telah berjanji bahawa apa juga keputusan kerajaan tidak akan memberi kesan kepada pekerja kontrak di sekolah kerana mereka kebanyakannya adalah warga B40 yang bergantung hidup kepada gaji sekecil RM900 sehingga RM1500 sahaja.

“Malangnya di dalam mesyuarat tersebut, permintaan KPM untuk mendapatkan jumlah bajet seperti yang diminta ditolak mentahmentah. Diceritakan komen sinis salah seorang ahli mesyuarat: “Jaga sekolah ni tak perlulah ramai-ramai. Sekolah-sekolah kampung carilah ‘volunteer’ (sukarelawan), mak bapa yang tak ada kerja tu boleh volunteer, “ katanya.

Bukan itu sahaja, ZF Zamir turut mendedahkan bahawa pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan yang terlibat dalam program penjimatan mereka terus ditamatkan dalam dua fasa seperti dirancang.

“Kami di KPM setiap hari menerima panggilan, WhatsApp, mesej dan emel tentang perkara ini namun tidak mampu melakukan apa-apa kerana bajet yang diminta tidak diluluskan MOF.

“Malah liputan turut disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Rakyat pada amnya melihat yang jahat adalah Dr Maszlee dan KPM, tanpa mengetahui punca sebenar mengapa sehingga 10,000 pekerja diberhentikan, atau seperti dilaporkan Utusan, 27,000 orang terjejas.

“Beberapa agensi di bawah KPM seperti Institut Terjemahan Buku Negara (ITMB) diarahkan tutup dalam masa yang kadangkala tidak masuk akal, ada di antaranya diarahkan tutup dalam masa tiga bulan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.