Tumbangnya PH Dikhianati Mereka Sendiri, Jangan Tuding Jari Sewenang-Wenangnya

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Penganalisis Politik, Datuk Seri Kamal Amir berpandangan pengkhianat sebenar terhadap apa yang berlaku dalam senario politik negara hari ini adalah Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

Tegas beliau kehadiran UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional serta yang lain adalah untuk menyelamatkan negara dalam usaha mewujudkan suasana yang lebih stabil gara-gara suhu politik negara turun naik dalam tempoh seminggu pada minggu lalu.

“Selama satu minggu politik Malaysia berada dalam keadaan turun naik yang akhirnya mengheret bursa saham kerugian berjumlan RM74 bilion. Dalam masa seminggu ini turun naik apa semua… dan masalah ini bukan datangnya daripada UMNO. Saya agak hairan bagaimana jari-jari atau tangan-tangan mereka menuding ke arah UMNO.

“Saya melihat kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyatakan kehadiran UMNO adalah untuk menyelamatkan negara. Yang kecoh sebenar-benarnya bermula daripada perletakan jawatan Perdana Menteri (PM). PM yang telah mendapat mandat begitu besar kononnya… iaitu Jumaat malam Sabtu… apabila dia berkata begitu saya kata ok… Beliau akan menjadi PM mentadbir negara ini sehingga November ataupun tiada ‘full stop’,” katanya.

Setelah itu katanya lagi ada mula yang bertanya bagaimana dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia masalah mereka.

“Masalah dalam PH yang kononnya memberi harapan tetapi akhirnya menghancurkan harapan seluruh rakyat. UMNO hadir bersama PAS dalam Muafakat Nasional setelah melihatkan kekecohan ini perlu diselamatkan. Jika tidak dalam tempoh begitu kita kerugian saham RM74 bilion. Pelabur-pelabur lari… dalam keadaan ekonomi teruk kesan daripada Corona Virus dan dalam keadaan kakitangan awam sendiri tertanya-tanya ke mana untuk pergi.

“Mereka nak gunakan bagaimana dahulu skrip asal mereka untuk menjatuhkan kerajaan. Saya melihat sebenarnya pengkhianatan ini dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Malaysia, terhadap kepercayan rakyat yang memberikan kepercayaan mereka undi pada PRU yang lalu sehingga mereka menjadi kerajaan, menjadi PM, menjadi menteri, mentadbir penuh kucar-kacir dan rakyat dikhianati. Benda-benda ini berlaku akhirnya nak salahkan UMNO. Sebenarnya merekalah khianat,” tambahnya.

Tambahnya lagi mereka sekarang ini tercari-cari formula bagaimana mahu kononnya hendak menarik kembali sokongan rakyat sedangkan sebenarnya seluruh rakyat dapat melihat percaturan politik songsang yang mereka lakukan terhadap negara hari ini.

Beliau berkata demikian pada Segmen Hujah yang turut menampilkan tokoh Sejarawan hebat, Prof Datuk Dr Ramlah Adam dan Shafiq Fhadly dari Profesional Muda dalam topik ‘Siapa Pengkhianat’, Isnin malam.

Sementara itu Pakar Sejarah, Dr Ramlah pula menganggap apa yang berlaku seminggu yang lalu memperlihatkan bagaimana peruntukan Perlembagaan Negara digunakan sebaik mungkin dan menjelaskan kepada rakyat fungsi sebenar Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Majlis Raja-Raja dan Sultan.

Jelas beliau pada hematnya Malaysia beruntung sebab negara mempunyai sistem Parlimen, dan ada Raja Berperlembagaan yang mana kedua-dua kuasa ini menjadi pengimbang tara antara kuasa yang telah diatur sejak merdeka.

“Apabila bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad isytihar meletakkan jawatan dan dengan itu kabinet lama iaitu kerajaan PH pun bubar, maka ianya memerangkap banyak orang. Selepas itu kita lihat bagaimana percaturan politik dilakukan oleh tokoh-tokoh yang terlibat.

“Apabila diselesaikan oleh YDPA, bagi saya itulah sebenarnya kuasa tertinggi yang telah dapat menyelesaikan keadaan itu. Pada saya Malaysia beruntung sebab kita ada sistem Parlimen, dan kita ada Raja Berpelembagaan. Maknanya kuasa institusi raja yang dilaksanakan oleh peringkat negeri dan peringkat negara YDPA, selepas itu kuasa rakyat yang berhak mengundi, memilih wakil-wakil rakyat mereka di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga peringkat Parlimen.

“Tetapi akhirnya kuasa yang terakhir dan teratas adalah kuasa raja-raja di peringkat negeri melantik menteri besar dan exconya, manakala peringkat negara YDPA berkuasa melantik PM dan kabinetnya. Jadi saya rasa inilah kali pertama dalam sejarah kita tiba dalam satu keadaan yang buntu dan terpaksa YDPA turun atau campur tangan. Tidak pernah berlakau dalam sejarah YDPA buat satu sesi ‘interview’ dengan Ahli parlimen kita. Tidak pernah berlaku dan ini memperlihatkan fungsi institusi raja-raja,” ujarnya.

Beliau turut mengharapkan kerajaan baharu ini akan memberi tumpuan dalam beberapa aspek terutama dalam soal ekonomi dalam usaha menjayakan pembangunan serta pemulihan sektor tersebut ke arah yang lebih baik.

Dalam pada itu, Profesional Muda Shafiq Fhadly turut bersetuju bahawa kejatuhan kerajaan PH adalah berpunca daripada mereka sendiri setelah sekian lama isu peralihan kuasa berlegar sesama mereka dan minggu lepas adalah kemuncaknya.

“Ini adalah permainan politik dan ini bukan sahaja Tun Dr Mahathir dan semua orang dalam PH. Sama ada kenyataan Tun Dr Mahathir pada malam mesyuarat Majlis Presiden PH benar-benar satu kenyatan ‘genuine’ ataupun tidak, ataupun itu adalah sebenarnya satu ‘tactical move’ Tun Dr Mahathir untuk menunjukkan sebenarnya Majlis Presiden PH telah setuju dengan ketetapan menyerahkan kepada beliau bilakah untuk meletakkan jawatan sebagai PM sedangkan sebelum ini dibincangkan soal peralihan kuasa antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat yang diadakan itu pun sebenarnya agenda utama untuk membincangkan aspek itu. Bagaimana pula agenda utamanya begitu keluar mesyuarat tiba-tiba Tun Mahathir mengumumkan bahawa mandat diberikan oleh keseluruhan Majlis Presiden untuk beliau membuat keputusan bilakah akan meletakkan jawatan dan mencari pengganti,” katanya.

Katanya lagi dikhabarkan pula pada malam berkenaan, wujud ketegangan dan perbalahan antara pimpinan PH.

“Jadi di situlah sebenarnya kita nampak walaupun ‘outcome’ daripada mesyuarat pada Jumaat itu lain… diumumkan satu perkara yang lain maka berlakulah pertembungan perang dingin kalangan mereka yang akhirnya telah menyebabkan berlaku keputusan lain.

“Kalau benarlah konsensus bahawa Tun Dr Mahathir diberikan mandat untuk teruskan pentadbirannya kenapa hari Ahad tiba-tiba PPBM membuat mesyuarat mereka sendiri. Bermakna ada pertelingkahan… ada pertembungan pada Jumaat itu yang menyebabkan hubungan mereka sudah renggang,” ujarnya.

Jelasnya lagi rakyat perlu lihat sebenarnya minggu lepas adalah kemuncak pengkhianatan yang berlaku dan selama 21 bulan ianya telah ‘berasap’ dan akhinya menemui jalan noktah.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.