Perhimpunan Haram Dan Hasutan Sudah Jadi Budaya PH, Tak Dapat Dipisahkan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Rata-rata pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan juga penyokong tegar mereka tidak mempedulikan amaran pihak polis yang melarang individu atau pihak yang berhasrat menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menganggap tindakan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang ini sememangnya merupakan budaya PH.

“Tindakan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang ini merupakan budaya PH yang tidak dapat dipisahkan sejak dari dulu lagi dan apa yang menyedihkan mereka memanipulasi golongan mahasiswa dan belia untuk terlibat sama dalam perhimpunan haram ini.

“Sejak kelmarin, beberapa siri perhimpunan haram telah diadakan yang disertai NGO BERSIH dan tokoh seperti Ambiga Sreenevasan, Marina Mahathir dan pemimpin Amanah YB Faiz Fadhil yang dilihat mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kekecohan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, di media sosial Twitter kempen membantah perlantikan Perdana Menteri semakin giat dijalankan iaitu #NotMyGovernment dan #NotMyPM yang banyak memuat naik komen berbaur hasutan dan memecah belahkan masyarakat.

“Golongan ini tidak menghormati keputusan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong yang berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.”

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menyeru pihak polis dan pihak bertanggungjawab lain untuk memantau laman media sosial.

“Saya serta mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyertai perhimpunan haram ini, memuatnaik komen berunsur hasutan dan tidak menghormati keputusan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong,” katanya lagi.

Dilaporkan, sebelum ini polis telah memberi amaran agar orang ramai tidak menyertai perhimpunan yang dirancang diadakan di ibu negara.

Petang semalam, perhimpunan selama dua jam bermula 6 petang dihadiri kira-kira 40 individu yang membantah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Peserta perhimpunan kemudian dilihat berarak dari sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka namun kehadiran peserta perhimpunan mengganggu orang awam yang beriadah serta menimbulkan kemarahan pemuzik jalanan yang membuat persembahan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.