Membazirkah PRU RM500 Juta? Berbanding RM87 Bilion Aset Rakyat PH Jarah – Khusairi

TANJUNG MALIM, 28 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menimbulkan persoalan membazirkah kos RM500 juta untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berbanding RM87 billion aset rakyat yang telah dijarah sepanjang Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Bidasnya, penjarahan PH itu hanya dalam tempoh 18 bulan dan berapa billion lagikah yang mungkin akan dijarah oleh Dap melalui Kementerian Kewangannya untuk tiga tahun mendatang sehingga tempoh penggal berakhir.

“Tak mungkin hanya RM500 juta. Tak mungkin juga hanya RM87 billion.

“Krisis ini yang diwujudkan oleh pemimpin-pemimpin PH termasuklah Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) selaku Perdana Menteri telah menyebabkan ekonomi negara tambah merudum. Bursa Malaysia mengalami kejatuhan indeks paling teruk dalam sejarahnya hanya dalam tempoh sehari ketika krisis ini bermula.

“Adakah kerugian RM42 billion akibat krisis ini bukan satu pembaziran berbanding RM500 juta untuk mengadakan PRU? Soal Khusairi dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim mengulas mengenai pandangan beberapa pihak yang berkata mengadakan PRU hanya membazirkan wang rakyat dan sebaiknya diserahkan kepada kesemua Ahli Parlimen menentukan kemelut perebutan jawatan perdana menteri.

Tambahnya lagi, krisis politik ketika ini berlaku akibat kecelaruan PH.

“Inilah hakikat sebenar Malaysia Baru yang mereka sering canangkan. Malaysia Baru yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin terhimpit daripada segala segi, keputusan-keputusan separa matang menteri-menteri kabinet yang ada kalanya melucukan, situasi politik yang tidak stabil akibat perebutan jawatan perdana menteri antara Mahathir dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim-Presiden PKR) dan pelbagai faktor kelemahan kerajaan PH.

“Dalam situasi celaru dan tidak menentu inilah sewajarnya kuasa memilih kerajaan diserahkan kembali kepada rakyat melalui PRU. Biarlah rakyat mencorakkan kembali kerajaan, setelah PH gagal memikul amanah sejak 9 Mei 2018, hanya untuk tempoh 18 bulan, bukan 61 tahun,” tegasnya lagi.

Ulasnya Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu juga, jika diteruskan dengan idea mahu membentuk kerajaan minoriti, adalah bila-bila masa sahaja kerajaan tersebut boleh dijatuhkan di Dewan Rakyat.

“Ketika itu akan berlaku lagi krisis fasa seterusnya. Berapa billion pula kerugian yang akan berlaku di Bursa Malaysia ketika itu? Akhirnya kembali juga kepada rakyat untuk memilih, yang sepatutnya boleh diadakan selepas krisis pertama.

“Kerajaan minoriti yang sedar lemah dan tidak kekal lama akan menguna segala waktu yang ada untuk menjarah wang dan aset rakyat, seperti kesedaran PH sebelum ini bahawa mereka hanya akan menjadi kerajaan sepenggal.

“Jika 18 bulan RM87 bilion aset dijual kepada kroni, berapa pula jumlahya untuk tempoh yang tidak menentu itu? Tambahan lagi jika menteri terbabit berada di posisi yang sama,” ujarnya.

Kata Khusairi lagi, PRU ketika tidak wujud ‘caretaker government’ sudah pasti lebih menjimatkan wang rakyat.

“Tiada orang politik yang berjawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri, setiausaha politik atau ‘macai-macai’ mereka yang akan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Tidak ada lagi pengumuman janji palsu projek juta-jutaan malah berbillion untuk meraih undi. Gelanggang lebih adil dan terbuka,” tambahnya.

Justeru itu, Khusairi berkata semua pihak perlu menyerahkannya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

“Segalanya sudah di tangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Orang politik dan rakyat jelata sewajarnya menjunjung duli di atas batu jemala. Daulat Tuanku,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.