Kalau Mahu ‘Unity Government’… Cukup-Cukuplah Dan Serah Kepada Rakyat – Rosni

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pengamal Undang-Undang, Datuk Rosni Zahari melihat apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam memperlihatkan perkara yang sebenarnya apabila beliau hanya ingin bekerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO dan bukannya atas dasar parti.

Menurut beliau ianya adalah satu perkara yang tidak adil kerana ahli parlimen berkenaan bertanding atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Apa yang dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir semalam semua dah diketahui oleh rakyat Malaysia kronologi sehingga berlakunya beliau meletakkan jawatan. Akhirnya saya rumuskan Tun Dr Mahathir bukannya mahu menerima UMNO… beliau hanya nak menerima ahli UMNO untuk pergi ke sana sedangkan ahli parlimen yang bertanding sebelum ini adalah atas tiket UMNO.

“Jadi pada saya itu satu perkara yang saya tidak boleh terima sebagai ahli parti. Saya merasakan itu sesuatu yang tidak adil kepada UMNO dan kalau pucuk pimpinan kita terima apa yang Tun mahukan itu ianya adalah yang tidak adil.

“Pada saya mudah sahaja… kalau nak berkerjasama atas dasar parti dan bukan sepertimana yang saya faham beliau mahu ahli parlimen daripada UMNO tetapi bukan parti menerusi langkah yang mahu dibina (unity government),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Segmen Hujah dengan topik “PM Interim: Kembalikan Hak Rakyat” dengan penampilan bersama seorang lagi pengamal undang-undang Pengamal Undang-undang Dr Shamsher Singh Thind, di sini, Rabu malam.

Rosni seterusnya mengharapkan kemelut yang berlaku hari diselesaikan segera malah turut berpendapat soal pentadbiran kerajaan perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum diumumkan sesuatu perkara termasuklah mengenai pakej ransangan ekonomi.

“Apa yang paling penting pada ketika ini adalah untuk melantik Perdana Menteri (PM). Selesaikan pelantikan PM kemudiannya selesaikan perlantikan jemaah menteri… kemudiannya dah ada menteri yang jaga portfolio masing-masing baru umum pakej ransangan ekonomi supaya ada kementerian yang akan mengimplementasikan semua pakej-pakej yang diumumkan itu.

“Sekarang ini kalau umum pakej siapa yang nak ‘implement’. Jadi manakah yang lebih ‘priority’ nak menentukan hala tuju politik negara dahulu ataupun hala tuju ekkonomi. Pada saya kita kena selesaikan hal politik dahulu… tentukan siapakah PM, siapa Jemaah menteri barulah umumkan pakej ransangan ekonomi… barulah ada kementerian yang akan mengimplementasikan apa yang diumumkan itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi suara daripada luar yang mahukan rakyat perlu diberikan pilihan dan terserah kepada mereka untuk memilih siapakah yang akan memimpin negara selepas ini.

“Perkara ini pada pandangan saya tidak akan berakhir. Kalau tidak bubar parlimen dan ‘stick form’ ikut apa yang ada ini tidak akan menyelesaikan masalah. Hari ini dia kata ada ‘number’. Esok orang ini pulak kata ada ‘number’… lepas bentuk kerajaan… eh lusa ada pulak dia kata lompat ke mari pulak. Dia pun ada ‘number’… jadi sampai bila dan yang jadi mangsanya adalah rakyat.

“Perlu dimuktamadkan segera dan cukup-cukuplah kemelut ini. Saya membawa suara rakyat di bawah… rakyat mengatakan kembalikan kepada rakyat dan biarlah rakyat menentukan siapakah yang akan mereka pilih untuk memimpin negara ini selepas daripada ini,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.