PH Tumbang Kerana Tak Dapat Sokongan Majoriti… Secara Perundangan Tun M PM Ke-8

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pengamal Undang-Undang Adnan Seman berkata, Pakatan Harapan (PH) tumbang sebagai kerajaan kerana mereka tidak ada sokongan majoriti mudah 112 ahli Parlimen ekoran Bersatu keluar PH dan 11 ahli Parlimen PKR keluar parti setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Namun begitu katanya, mengikut perundangan Dr. Mahathir sebenarnya kini adalah Perdana Menteri ke-8 kerana dalam Perlembagaan tiada istilah Perdana Menteri interim.

“Sebenarnya dalam Perlembagaan tidak ada Perdana Menteri interim. Secara perundangan, Tun adalah Perdana Menteri ke-8 dan Perdana Menteri ke-8 inilah yang akan menentukan pembentukan kabinet baru.”

Dilaporkan, semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.

“Tun sekarang ini menjadi Perdana Menteri ke-8 bukan atas sokongan PH seperti apa yang terjadi selepas PRU-14 yang lalu tetapi atas sokongan majoriti semua ahli parlimen. Kalau kita lihat hari ini, semua pihak menyatakan sokongan kepada Tun, seolah-olah Tun mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen dan kerana itu Yang Di-Pertuan Agong melantik Tun sebagai Perdana Menteri interim. Maka Tun juga ada kuasa penuh untuk tentukan siapa yang akan beliau pilih untuk berada dalam barisan Kabinet baru,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam Program Hujah anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, UMNO-Online, malam tadi.

Mengulas lebih lanjut mengenai senario politik, Adnan berkata, apabila perdana menteri meletak jawatan, sebenarnya barisan kabinet masih ada tetapi yang membuatkan semuanya tumbang adalah kerana PH sudah tidak ada sokongan majoriti mudah iaitu 112.

“Bila perdana menteri letak jawatan tidak semestinya menteri-menteri lain pun turut gugur. Mereka masih menteri melainkan Perdana Menteri memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa barisan Kabinet juga turut gugur.

“Tapi apa yang terjadi sekarang ini, apabila Bersatu umum keluar PH dan 11 Ahli Parlimen PKR juga umum keluar PH maka PH tidak ada lagi sokongan majoriti mudah dan ini yang menyebabkan semua barisan kabinet itu turut tumbang…. PH tumbang kerana mereka tidak ada 112 ini.

“Seperti contoh di Perak dulu. 28 ADUN dimiliki oleh BN dan 31 dimiliki oleh Pakatan Rakyat ketika itu, bila tiga ADUN lompat dan tidak menyatakan sokongan kepada Nizar dan sokong BN dan bila 28 campur tiga ini pergi ke Istana menyatakan mereka ada sokongan majoriti maka Nizar dipanggil. Nizar enggan letak jawatan dan Sultan bertitah jawatan Nizar akan gugur dengan sendirinya. Kita kena faham yang menentukan sokongan ini adalah Tuanku Agong dalam konteks kerajaan pusat dan Sultan dalam kerajaan negeri,” tegas beliau.

Maka dalam konteks semasa terang Adnan, PH telahcpun terkubur dan kerana itu Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan kenyataan media menyatakan Tuanku Agong telah perkenan untuk melantik Tun sebagai Perdana Menteri interim dan akan berlaku pembentukan kabinet baru.

“Ini bermakna kabinet lama telah pun gugur… PH tumbang bila Bersatu dan sebahagian PKR keluar PH,” jelas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.