BN, PAS, PBRS Tolak Sebarang Gabungan Babitkan Dap, Mahu Parlimen Dibubarkan

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini sepakat menolak sebarang gabungan  yang membabitkan Dap dan mahukan Parlimen dibubarkan.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media khas di PWTC, di sini, sebentar tadi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan dan Timbalan Presiden PBRS,  Arthur Joseph Kurup. Beberapa Ahli Parlimen lain turut bersama pada sidang media tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, Annuar Musa berkata terdapat cadangan selepas terlantiknya  Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk beliau membentuk apa yang disebut sebagai ‘unity government’.

Katanya berasaskan kepada kemungkinan untuk membentuk satu kerajaan ‘unity’ dan jika ia benar berlaku maka secara prinsipnya  banyak bercanggah dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan iaitu apa-apa perkiraan membentuk kerajaan mestilah atas dasar  parti dan bukannya individu.

“Ini kerana dalam cadangan pembentukan ‘unity  government’ itu dikatakan dibentuk dengan bakal perdana menteri memilih individu-individu dan bukannya parti bagi membentuk satu kabinet. Maka ini bermakna bercanggah dengan pendirian parti-parti kami.

“Sewaktu kita menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara  tadi,  kita telah membuat ketetapan iaitu sokongan yang kita berikan kepada Tun Dr Mahathir untuk membentuk satu pakatan alternatif tanpa Dap itu terpaksa kita tarik balik.

“Dan statutory declaration (SD) yang telah kita persembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir  hanya terhad kepada membentuk pakatan baru tanpa Dap. Apa-apa yang selain daripada itu maka sokongan kita tidak ‘valid’,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dalam situasi  yang seperti ini mandat haruslah dikembalikan kepada rakyat dan memohon supaya parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat yang menentukan.

“Melihat kepada kemelut ini kita merasakan tidak adil kepada rakyat kalau sekiranya berlaku sebarang usaha membentuk kerajaan yang lari daripada prinsip-prinsip amalan demokrasi berparlimen di negara kita, tidak menghormati suara parti sebaliknya mengambil suara-suara individu yang boleh menimbulkan konflik kepada parti-parti yang terlibat dan juga penglibatan dan pihak tertentu yang dasarnya bercanggah dengan kami.

“Kami tidak  boleh bersekongkol, kalau dalam ‘unity government’ itu melibatkan Dap, kita sebulat suara mengambil pendirian tidak akan menyertai kerajaan itu,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata negara hari ini berdepan dengan kegawatan ekonomi, politik serta soal tekanan serta keresahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Yang penting kami nak menyatakan kepada rakyat…oleh kerana negara sekarang ini gawat,ekonomi, politik, sosial tekanan dan keamanan dan sebagainya, keresahan rakyat… ‘the best option’ yang ada yang mana kuasa ini hanya ada kepada YDP Agong ialah membubarkan parlimen.

“Dan kami bersedia untuk jelaskan… kita menyerahkan balik kepada rakyat dan biarlah rakyat pilih siapa yang boleh memimpin mereka. Ini yang kita nak nyatakan dengan jelas. Ini adalah pendirian kita bersama,” tambahnya.

Manakala  Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula menyatakan bahawa Majlis Presiden MCA telah bermesyuarat lebih awal lagi dan parti itu  telah meluluskan satu resolusi iaitu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menyelesaikan kemelut ini iaitu ‘bubarkan Parlimen’.

“Apa jua kecacatan dan keruntuhan disebabkan mereka sendiri dan mereka sendiri yang menyebabkan  perkara ini berlaku sehingga kerajaan PH runtuh dan akhirnya yang mencipta kemelut ini adalah PH.

“MCA mendukung penuh, kita akan berdepan dengan rakyat, biarlah rakyat menilai prestasi PH selama 22 bulan ini. Kembalikan kuasa kepada rakyat dan satu saja iaitu menubuhkan satu kerajaan yang kukuh, kuat untuk negara, memulihkan  ekonomi…itulah perkara  yang diutamakan,” katanya.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan turut menjelaskan bahawa parti itu akan  menyerahkan kuasa kepada rakyat.

“Memilih sesebuah kerajaan untuk memerintah atau memimpin  adalah hak rakyat.  Tiada mana-mana individu atau organisasi boleh merampas hak rakyat maka MIC berpendapat  memandangkan satu pilihan yang dibuat pada PRU 14 telah gagal kita perlu kembalikan kepada hak rakyat melalui  Pilihanraya,” ujarnya.

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup  merasa kecewa dengan prestasi kerajaan PH yang mentadbir negara selama 22 bulan.

“Saya kecewa dengan kegagalan kerajaan PH  mentadbir negara ini dengan baik dan… tidak sampai separuh penggal.

“Tun Mahathir  telah melakukan perkara yang baik dengan meletakkan jawatan dalam kerajaan PH yang telah runtuh. Maka negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini wajarlah untuk kita serahkan kuasa memilih ini kepada rakyat  dan PBRS akan memegang pada prinsip demokrasi ini,” tegasnya – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.