Rakyat Ragu Prinsip ‘Rule Of Law’, Kredibiliti AG… “Undang-undang Bukan Sahaja Perlu Adil, Tetapi Perlu Dilihat Adil” – Mirza

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Pengerusi Mahasiswa UMNO Universiti Malaysia Muhammad Mirza Adnan berkata jika Peguam Negara Tommy Thomas mahu meletakkan undang-undang di tempat yang dihormati, maka seharusnya proses pendakwaan perlu mengambil tempat dan membenarkan mahkamah menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak.

Katanya, sekiranya Tommy merasakan bukti tidak mencukupi, seharusnya tertuduh telah dibebaskan lebih awal bukannya selepas beberapa bulan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kesemua keraguan dan ‘inconsistencies’ ini telah menyebabkan rakyat meragui dengan prinsip ‘Rule of Law’ malah mempertikaikan kredibiliti Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara turut menjelaskan adalah mustahil bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan tertuduh tidak termasuk dalam kategori pengecualian di bawah Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan iaitu sekadar terjumlah ‘sokongan’ bantahan atau pertentangan pendapat.

“Perkara ini bersifat subjektif dan perlu dibicarakan di mahkamah untuk diterjemah dan diaplikasi dengan betul. Dalam erti kata mudah, kita tidak boleh membuat tanggapan tetapi tanggapan dari sudut undang-undang hanya boleh dijawab dan akan terjawab setelah mahkamah menjatuhkan hukum,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini ulasnya lagi, kecuali dari awal lagi Peguam Negara sudah mempunyai niat untuk mewujudkan tanggapan tersebut bagi tujuan membebaskan tertuduh dan sudah pasti mewujudkan keraguan tentang keupayaan Peguam Negara dalam melaksanakan tugas pendakwaan yang adil.

Merujuk juga kepada laporan media perdana, Mirza berkata pada bulan Oktober 2019, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan berkata polis mempunyai bukti yang kukuh penglibatan mereka yang ditangkap dengan kumpulan militan Sri Lanka LTTE.

“Malah kenyataan ini disokong oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan tindakan itu adalah berdasarkan hasil risikan PDRM dan bukan satu insiden ‘isolated’.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga tangkapan dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Peguam Negara sendiri.

“Oleh itu, amatlah pelik apabila hari ini keputusan Peguam Negara menggugurkan kes tersebut kerana dikatakan tiada prospek jelas untuk disabitkan,” bidasnya.

Jelas Mirza lagi, Peguam Negara membuat keputusan tersebut berdasarkan kuasa yang diberikan kepada beliau mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan beliau menghapuskan tuduhan terhadap mana-mana pihak mengikut budi bicara beliau.

“Dalam masa yang sama, umum juga perlu faham bahawa kuasa budi bicara ini tidak bersifat mutlak. Dalam kes di Singapura iaitu Law Society Singapore v. Tan Guat Neo Phyllis [2008] 2 SLR 239 yang melaporkan, “The discretionary power to prosecute under the Constitution is not absolute. It must be exercised in good faith for the purpose it is intended. The notion of the discretion is contrary to the rule of law under two situation ; First, where the prosecutional power is abused where it is exercised in bad faith and second, where its exercise contravenes constitutional protections and rights including his right to equality under the law stated in Article 12 of the Federal Constitution.”

“Keputusan Peguam Negara dibuat atas alasan bahawa adalah menjadi kelaziman bagi seseorang mengidolakan individu yang lain. Mempunyai gambar dan representasi lain yang disifatkan mempunyai kaitan dengan kumpulan militant dalam telefon bimbit atau di akaun Facebook tidak sepatutnya dijadikan indikator melabel seseorang sebagai pengganas.

“Jikalau begitu, apakah asas kes Siti Noor Aishah Atam yang dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada 26 April 2017 kerana memiliki naskah militan Daesh? Lebih dari itu, kenyataan dari Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Ketua Penolong Pengarah E8 juga mengesahkan mereka mempunyai bukti yang kukuh hasil risikan yang lama menunjukkan kes ini lebih daripada sekadar menjadikan seseorang itu idola, atau memiliki bahan. Ia seolah pendakwaan terpilih yang mana kes Aishah dijadkan kes kesalahan ‘strict liability’,” tegas pelajar jurusan undang-undang itu.

Selarnya juga, tindakan Peguam Negara adalah satu penghinaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama unit E8 yang telah bertungkus lumus dalam merisik dan menjalan strategi bagi membanteras elemen pengganas di dalam negara ini.

“Lebih membimbangkan lagi, tindakan seperti ini akan menjadi ‘precedent’ kepada kes-kes melibatkan isu pengganas dan keselamatan negara selepas ini.

“Ia juga memberi mesej moral yang sangat salah bahawa memiliki bahan berkaitan pengganas, mengidolakan pengganas secara terbuka dan menyertai majlis-majlis keraian melibatkan elemen pengganas tidak menjadi satu kesalahan.

“Aspek keselamatan negara kini berada dalam keadaan yang sangat bahaya,” ujarnya.

Dalam isu yang sama, Mirza turut melahirkan kekhuatiran keputusan Peguam Negara itu jika dipengaruhi unsur-unsur tertentu seperti pengaruh politik kerana individu yang tertuduh merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka dan ADUN Seremban Jaya iaitu G Samianathan dan P Gunasekaran.

“Kita juga khuatir keputusan ini bakal mengancam keselamatan negara. Lebih dari itu, kita khuatir tentang keupayaan Peguam Negara dalam menjalankan tugas secara adil dan saksama.

“Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi perlu dilihat adil. – the necessity of providing justice that is not just fair, but perceived to be fair,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.