Tabung Haji: Kerajaan PH Seperti ‘Tikus Membaiki Labu’ – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kisah Tabung Haji (TH) di era kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat seperti bak kata peribahasa Melayu, ‘tikus yang membaiki labu’, ia bukan menjadi lebih baik tetapi menjadi semakin buruk, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ujarnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa boleh menuduh bahawa ia adalah kerana persepsi jahat dan kebencian yang kononnya dimainkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan pembangkang tetapi timbul persoalan mengapa Naib Presiden Pan itu sendiri enggan bersemuka dengan Dr Asyraf untuk berdialog mencari kebenaran.

“Alasan kononnya beliau hanya seorang menteri dan tidak pakar dalam hal ehwal urusan teknikal TH adalah memalukan kerana Dr Asyraf hanyalah sebagai mantan timbalan menteri yang lebih kecil kuasanya berbanding dengan Dr Mujahid.

“Sedangkan ternyata dalam Seksyen 10, Akta 535, Tabung Haji 1995, seorang menteri berkuasa memberi arahan dan menghendaki maklumat. Malangnya beliau mencadangkan Pengerusi Lembaga Ikan (LKIM) Dr Faiz Fadzil untuk mewakili beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zambry juga berbangga dengan Dr Asyraf yang berhujah hingga kini tanpa menyerang peribadi meskipun Dr Mujahid sering membawa kepada sasaran serangan beliau terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Dr Mujahid berhujah dalam sosial medianya menyatakan apa yang diluahkan oleh rakyat seperti Dr Asyraf dan lain-lain adalah langkah menanamkan kebencian terhadap beliau dan PH.

“Saya tidak fikir terlalu mudah untuk menagih simpati sedemikian rupa. Rakyat inginkan penjelasan daripada seorang menteri kerana jelas dalam Akta TH bahawa seorang menteri yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga Tabung Haji ialah Dr Mujahid.

“Melainkan kalau Tun Dr Mahathir memberikan tugas menjaga TH kepada menteri lain, maka wajarlah Dr Mujahid menjawab bahawa serangan ke atasnya lebih kepada sentimen politik,” tegasnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu juga mengulas bahawa TH adalah lambang institusi tabungan umat Islam dan rakyat Malaysia yang menempa sejarah dunia, dari sebuah institusi tabungan untuk mengerjakan haji menjadi sebuah institusi ekonomi besar yang berjaya.

“Lantaran itulah ia terlalu sensitif kepada umat Islam apabila hal kontroversi TH berterusan hingga kini.

“Ia boleh membangkitkan protes secara besar-besaran di kalangan umat Islam sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan bijaksana,” katanya.

Justeru itu tambahnya, tentunya semua pihak ingin melihat pendekatan “Rahmatan lil alamin” yang diwar-war oleh Dr Mujahid dalam berkara berkenaan.

“Ia perlu menjadi lebih bijaksana dan tidak terbawa-bawa dengan amarah meskipun dikatakan menanam kebencian.

“Tidak ada salahnya Dr Mujahid bertemu dengan Dr Asyraf. Rakyat sedang memerhati dan menanti.

“Perbincangan boleh dibuat atas tajuk: Apakah nasib dan masa depan Tabung Haji?,” jelasnya lagi.

Kata Dr Zambry juga, selain berkali-kali Dr Asyraf mengajak Dr Mujahid bersemuka, berdialog dan berdebat untuk mencari kebenaran namun Dr Mujahid memberikan pelbagai hujah dan alasan serta paling mustahak ialah apabila Dr Asyraf meminta supaya sebuah Suruhanjaya Bebas DiRaja (RCI) diwujudkan bagi menjawab segala persoalan tentang TH. – UMNO ONLINE

Berikut merupakan kenyataan penuh Dr Zambry:

NASIB TABUNG HAJI

Sebaik sahaja terbentuknya kerajaan baru PH kita disajikan dengan kisah Tabung Haji yang kononnya turut menghadapi skandal seperti 1MDB.

Itulah gambaran cerita dan bayangan yang setiap kali disuarakan oleh Menteri Agama Dr Mujahid. Bagaikan berlaku kecurian dan rompakan wang para jamaah yang sangat serius.

Rupa-rupanya gambaran itu hanyalah berkaitan dengan sistem audit dari dua juruaudit yang berbeza mengenai kaedah pemberian hibah. Isunya berkaitan dengan nilai aset kurang daripada liabiliti.

Dr Muhammad Khalid, penasihat ekonomi PM, pula menggambarkan aktiviti pemberian hibah Tabung Haji seperti skim Pak Man Telo.

Nasib Tabung Haji kemudiannya menjadi perkakas politik bagi menyerang kerajaan terdahulu. Maka pelbagai tuduhan terhadap operasi TH dilontarkan dan dibuka secara terbuka.

Sentimen yang diwujudkan terhadap Tabung Haji sejak Disember 2018 lagi bahawa TH berada dalam bahaya dan kemungkinan menuju kepada krisis kewangan dan kebangkrapan menyebabkan pelabur-pelabur mulai bimbang dan mengambil langkah keluar dari memegang saham-saham yang sama dipegang oleh TH.

Saham-saham utama yang dipegang oleh TH dengan besar mulai kehilangan nilainya, dan menambah kerugian nilai TH dari defisit RM4.1 billion di akhir tahun 2017 kepada RM10.9 billion di akhir tahun 2018.

Apabila TH mengumumkan hibah 2018 pada kadar 1.25% ia menambah luka ummat Islam dan pelabur TH yang selama ini menikmati hibah antara kadar 6-8%.

Dr Asyraf Wajdi dan Dr Mujahid Yusof menjadi dua personaliti di celah-celah polemik TH ini. Berkali-kali Dr Asyraf mengajak Dr Mujahid bersemuka, berdialog dan berdebat untuk mencari kebenaran, namun Dr Mujahid memberikan pelbagai hujah dan alasan.

Paling mustahak ialah bila Dr Asyraf meminta supaya sebuah Suruhanjaya Bebas Di Raja (RCI) diwujudkan bagi menjawab segala persoalan tentang TH.

Sejak awal lagi ummat Islam dan penyimpan dalam TH amat kecewa apabila aset TH dipindahkan ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB). Malah yang paling mengecewakan ialah satu persatu harta milik TH dijual dengan nilai berbilion ringgit. Ia sudah mencapai hampir RM10 billion pemindahan aset dilakukan.

Aset perladangan TH yang menjadi antara sumber pendapatan TH juga menjadi mangsa penjualan atas alasan melupuskan perniagaan yang yang rugi, perniagaan yang tidak menjadi teras kepada TH, dan perniagaan yang dikatakan tidak produktif dan berdaya maju.

Kini dikatakan aset-aset ladang TH berjumlah 110,000 hektar sudah dan sedang dalam proses dijual atau pindah milik.

Kini berita tentang 4 buah hotel TH juga menjadi mangsa terbaru. Asyraf membangkitkan isu yang sangat penting iaitu percanggahan ketara antara kenyataan THHR ( TH Hotel and Residence) dengan kenyataan Menteri Agama Dr Mujahid.

THHR menyebut bahawa operasi 4 hotel akan ditamatkan, manakala Menteri mengatakan bahawa ianya terpaksa dijual kerana tidak berdaya maju. TH pula kemudiannya menyatakan operasi 4 hotel tidak ditamatkan tetapi ditukar pengendali operasinya.

Apabila Menteri menyatakan operasi hotel TH tidak berdaya maju, maka tercetus pula berita yang menyatakan bahawa TH Hotel Terengganu mencatat keuntungan setiap tahun. Keuntungan bersih yang dicatat pada 2014 adalah sebanyak RM369.1 ribu kepada RM1.025 juta pada tahun 2018.

Kisah TH ini dilihat seperti bak kata peribahasa Melayu, tikus yang membaiki labu. Ia bukan menjadi lebih baik, tetapi menjadi semakin buruk.

Dr Mujahid boleh menuduh bahawa ia adalah kerana persepsi jahat dan kebencian yang kononnya dimainkan oleh Dr Asyraf dan pembangkang. Tetapi kenapa Dr Mujahid sendiri enggan bersemuka dengan Asyraf untuk berdialog mencari kebenaran.

Alasan kononnya beliau hanya seorang Menteri dan tidak pakar dalam hal ehwal urusan teknikal TH adalah memalukan kerana Dr Asyraf hanyalah sebagai mantan timbalan menteri yang lebih kecil kuasanya berbanding dengan Dr Mujahid.

Sedangkan ternyata dalam Seksyen 10, Akta 535, Tabung Haji 1995, seorang Menteri berkuasa memberi arahan dan menghendaki maklumat. Malangnya beliau mencadangkan Pengerusi Lembaga Ikan (LKIM) Dr Faiz Fadzil untuk mewakili beliau.

Saya berbangga dengan Asyraf yang berhujah hingga kini tanpa menyerang peribadi meskipun Dr Mujahid sering membawa kepada sasaran serangan beliau terhadap kerajaan BN dahulu.

Dr Mujahid berhujah dalam sosial medianya menyatakan apa yang diluahkan oleh rakyat seperti Asyraf dan lain-lain adalah langkah menanamkan kebencian terhadap beliau dan PH.

Saya tidak fikir terlalu mudah untuk menagih simpati sedemikian rupa. Rakyat inginkan penjelasan daripada seorang Menteri kerana jelas dalam Akta TH bahawa seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga Tabung Haji ialah Dr Mujahid.

Melainkan kalau Tun Dr Mahathir memberikan tugas menjaga TH kepada Menteri lain, maka wajarlah Dr Mujahid menjawab bahawa serangan ke atas nya lebih kepada sentimen politik.

Kita sedia maklum rakan-rakan Dr Mujahid cuba untuk membantu beliau untuk menjelaskan keadaan di TH.

Terbaru apabila Dr Zaharuddin cuba menegakkan langkah kerajaan terhadap TH adalah langkah bail-out, Dr Asyraf menekankan bahawa ia bukan bail-out kerana ia berdasarkan sukuk yang dikeluarkan untuk tempoh matang antara 7 tahun dan 10 tahun. Malah tidak ada jaminan kerajaan.

Kelmarin sewaktu saya makan di sebuah restoran, seorang Pengurus Tabung Haji di sebuah kawasan meluahkan perasaan betapa nasib yang menimpa Tabung Haji.

Beliau yang sudah bekerja lebih 30 tahun dengan TH menceritakan kepada saya bagaimana zaman membina TH dari kampung ke kampung dan ceruk rantau dengan menggunakan wayang pacak dan set generator.

Akhirnya TH mencapai kegemilangannya.

Tiba-tiba TH menghadapi zaman muram selepas PRU14 kononnya tuduhan pelbagai kerosakan, penyelewengan dan rompakan yang dilakukan oleh regim lalu. Tetapi selepas hampir dua tahun, kisah TH bukan menjadi semakin elok, tetapi semakin berserabut.

TH adalah lambang institusi tabungan umat Islam dan rakyat Malaysia yang menempa sejarah dunia. Dari sebuah institusi tabungan untuk mengerjakan haji menjadi sebuah institusi ekonomi besar yang berjaya.

Lantaran itulah ia terlalu sensitif kepada umat Islam apabila hal kontroversi TH berterusan hingga kini. Ia boleh membangkitkan protes secara besar-besaran di kalangan umat Islam sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan bijaksana.

Tentunya kita ingin melihat pendekatan “Rahmatan lil alamin” yang diwar-war oleh Dr Mujahid. Ia perlu menjadi lebih bijaksana dan tidak terbawa-bawa dengan amarah meskipun dikatakan menanam kebencian.

Tidak ada salahnya Dr Mujahid bertemu dengan Dr Asyraf. Rakyat sedang memerhati dan menanti. Perbincangan boleh dibuat atas tajuk : Apakah nasib dan masa depan Tabung Haji?

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.